[VIDEO] Mekah dilanda cuaca ekstrem, jemaah umrah terjejas


  • Benua
  • Khamis, 24 Ogos 2023

Foto dirakam memaparkan kilat menyambar menyambar hotel ikonik Menara Diraja Jam Fairmont Makkah sehingga menerangi langit pada malam Selasa. — Agensi

CUACA ekstrem dilaporkan melanda kota Mekah, Arab Saudi pada Selasa sehingga menyaksikan berlakunya kejadian ribut dan hujan lebat.

Perkembangan tersebut memberikan kesan terhadap perjalanan aktiviti jemaah umrah yang berada di Masjidil Haram di samping penutupan sekolah di kawasan berkenaan.

Video tular beredar di sosial media Selasa menunjukkan jemaah haji yang sedang melakukan tawaf mengalami detik cemas apabila tergelincir akibat hujan dan angin kuat melanda kawasan tersebut dengan beberapa objek berdekatan dilihat turut berterbangan.

Pada masa sama, satu klip berasingan turut memaparkan insiden kilat menyambar hotel ikonik Menara Diraja Jam Fairmont Makkah sehingga menerangi langit pada waktu malam Selasa.

Jurucakap Pusat Meteorologi Kebangsaan, Hussain al-Qahtani berkata, ribut yang berlaku itu membawa angin kencang dengan kelajuan melebihi 80 kilometer sejam.

Menerusi ciapan di platform X (Twitter), beliau berkata, kawasan kejiranan di Mekah turut merekodkan penurunan hujan sebanyak 45 milimeter dalam tempoh 24 jam.

Beberapa video tular pada Selasa juga memaparkan kejadian banjir yang berlaku di beberapa kawasan terbabit.

Perkembangan cuaca ekstrem itu dilihat turut pernah berlaku pada 2015 dalam insiden ribut yang menumbangkan kren di Masjidil Haram sehingga meragut nyawa lebih 100 individu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram