'Bukan kes rayuan, ikut mahram, ralat dengar cerita jemaah dapat panggilan kedua haji'


  • Massa
  • Khamis, 25 Jan 2024

Permohonan ibadah haji dikatakan perlu diberi keutamaan kepada individu yang belum pernah menunaikannya.

SELEPAS Tabung Haji mengumumkan kadar baharu untuk setiap bakal jemaah, ramai yang menyuarakan rasa kurang puas hati kerana berlakunya peningkatan jumlah kos yang dianggap sedikit membebankan.

Dilaporkan, kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim haji 1445H/2024M meningkat lapan peratus kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun 1444H/2023M.

Selepas isu kos, timbul pula rasa kurang senang berkenaan permohonan panggilan jemaah haji yang dikatakan tidak dilakukan secara adil.

Ia ekoran daripada hantaran yang dimuat naik oleh pemilik Facebook Hasanah Abd Khafidz baru-baru ini dengan luahan sedih selepas melihat permohonannya melalui laman web THiJARI.

BACA LAGI: [VIDEO] Salahkah bersilat di Masjid Nabawi? Zaman Nabi pun ada buat pelbagai aktiviti — Pakar agama

2499774

Panggilan haji dikatakan perlu diberikan peluang secara sama-rata.

Dakwanya, ada beberapa individu yang mendedahkan bahawa menerima panggilan haji kali kedua tanpa membuat rayuan atau mengikut syarat pergi bersama mahram.

"Bila semak THiJARI sedih, reda, mengharap. Terasa begitu ralat tadi bila berbual-bual dengan orang yang dapat panggilan haji kali kedua. Bukan kes rayuan. Bukan kes ikut mahram," tulisnya.

Bukan sekadar itu, dia juga mendakwa, keutamaan tersebut seharusnya diberi keutamaan kepada individu yang belum pernah menunaikan ibadah tersebut.

Malah, dia menggesa agar pihak Tabung Haji mempertimbangkan perkara tersebut dengan teliti dan memberikan kuota haji kepada mereka yang menanti menyempurnakan rukun Islam.

"Mohon mencadangkan untuk mereka yang mendapat panggilan haji kali kedua atau ketiga, sila pergi umrah. Pergilah umrah. Pergilah umrah," luahnya lagi.

BACA LAGI: Mansuh dulu pencen wakil rakyat — Cuepacs

Sementara itu, media melaporkan Lembaga TH tidak lagi membenarkan pendeposit yang sudah menunaikan haji mendaftar semula untuk mengerjakan ibadah berkenaan buat kali kedua sejak Januari 2019.

"Sebelum 2019, memang sudah ada yang mendaftar buat kali kedua dan nama mereka sudah ada di dalam sistem giliran, jadi TH tidak ketepikan hak mereka yang mendaftar ini kerana mereka layak. Sebab itu, masih ada baki pendeposit yang mendaftar kali kedua di dalam sistem ketika ini," katanya.

TH turut memaklumkan, selain mereka yang sudah mendaftar sebelum ini, ada beberapa faktor yang membenarkan pendeposit menunaikan haji kali kedua.

Antaranya, pendeposit membuat rayuan untuk mengikut mahram atau mengikut jemaah terpilih yang sudah lanjut usia atau orang kurang upaya (OKU)

Pada masa sama, TH menyangkal dakwaan mengagihkan kuota tertentu kepada sesetengah pihak dan menegaskan bahawa panggilan adalah berdasarkan konsep 'mendaftar dahulu, didahulukan' yang dilaksanakan sejak 1995 lagi.

TH turut menafikan dakwaan hanya mengendalikan sebanyak 11,000 jemaah sahaja pada 2024 kerana majoriti jemaah haji dikatakan sekitar 70 hingga 80 peratus adalah melalui Muassasah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram