BARU-BARU ini, rakyat Malaysia digemparkan dengan sebuah video menunjukkan tiga sekeluarga yang berpakaian lengkap berbaju Melayu sedang bersilat di perkarangan Masjid Nabawi, Madinah.
Malah tindakan tiga beranak yang bertanjak menunjukkan aksi silat itu turut dikecam banyak pihak kerana dianggap tidak bersesuaian.
Pada masa sama, ada juga yang berpendapat tindakan mereka itu memalukan negara dan seolah-olah tidak menghormati rumah ibadat bagi umat Islam.
Namun, kejadian tersebut bukanlah kali pertama yang menyebabkan nama Malaysia menjadi sebutan.
Majoriti menyenaraikan tiga peristiwa yang berlaku di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram yang melibatkan rakyat Malaysia dan negara lain.
BACA LAGI: [VIDEO] Salahkah bersilat di Masjid Nabawi? Zaman Nabi pun ada buat pelbagai aktiviti — Pakar agama
1. Rakyat Malaysia ditahan gara-gara isyarat jari telunjuk
Gambar di pekarangan Masjid Nabawi yang menjadi punca Huda ditahan di Madinah. —Huda
Pada awal November lalu, beberapa rakyat Malaysia yang dianggap pejuang Palestin ditahan pihak berkuasa tempatan di Tanah Suci ketika menunaikan umrah kerana bergambar dengan menunjukkan jari telunjuk ke langit.
Jemaah umrah dari Malaysia mendakwa mereka telah ditahan di Madinah selama setengah jam hingga 45 minit untuk disoal siasat oleh pihak berkuasa tempatan kerana dianggap menunjukkan tanda solidariti kepada Palestin.
Menerusi laman sosial Facebook yang dikenali sebagai Huda Izaham melampirkan gambar di perkarangan Masjid Nabawi yang menjadi punca ditahan.
Dalam gambar tersebut, dia menaikkan jari telunjuk yang menuju ke langit yang membawa maksud ‘ALLAH Yang Satu’.
Mereka kemudiannya dilepaskan pihak berkuasa tempatan selepas disoal siasat.
BACA LAGI: 'Bukan kes rayuan, ikut mahram, ralat dengar cerita jemaah dapat panggilan kedua haji'
2. Dua pelancong wanita bukan Islam tersilap masuk Masjid Nabawi
Pada Februari tahun lalu, masyarakat Islam di seluruh dunia dikejutkan dengan satu video tular dua pelancong wanita di perkarangan Masjid Al-Nabawi tanpa memakai abaya.
Video kehadiran pelancong di tempat ibadat suci tanpa memakai pakaian yang sesuai atau tudung sekali gus menimbulkan kemarahan pengguna laman sosial di Arab Saudi.
Video itu menunjukkan dua pelancong wanita tersebut telah dihalang oleh seorang anggota keselamatan yang mula bercakap dengan mereka kerana pakaian yang dipakai mereka itu melanggar peraturan.
Namun, agensi media antarabangsa, Saudi Gazette melaporkan Agensi Hal Ehwal Masjid Nabawi di Madinah menyatakan bahawa kemasukan dua wanita bukan Islam di perkarangan tempat suci berkenaan dan memakai pakaian yang tidak sesuai berlaku secara tidak sengaja.
“Wanita-wanita tersebut diberitahu tentang keistimewaan dan kesucian Masjid Nabawi. Mereka menyatakan terima kasih dan penghargaan atas layanan baik yang telah diterima,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.
BACA LAGI: [VIDEO] Ajal depan mata suami, isteri maut kereta termasuk jalan kontra di Kuala Selangor
3. Serangan bom Masjid Nabawi
Para jemaah melihat kepulan asap di Masjid Nabawi selepas tempat ibadat diserang pada tahun 2016.
Seorang warganegara Arab Saudi berusia 26 tahun dilaporkan menyerang Masjid Nabawi di kota suci Madinah pada tahun 2016.
Suspek, Naer Muslim Hamad yang turut mengebom dirinya sendiri dalam kejadian itu ternyata memiliki sejarah penyalahgunaan dadah.
Dalam kejadian tersebut, suspek dikatakan melintasi tempat letak kereta bersebelahan Masjid Nabawi di Madinah dan meletupkan tali pinggangnya berhampiran ibu pejabat keselamatan hingga menyebabkan kematian empat anggota tentera.
Pihak berkuasa tempatan, Arab Saudi berkata, pengebom bunuh diri yang menyerang Masjid Nabawi di kota suci Madinah pada waktu kejadian adalah seorang warganegaranya yang berusia 26 tahun dan mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah.
Menurut Reuters, dua belas rakyat Pakistan dan tujuh warga Arab Saudi juga telah ditahan berhubung serangan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram