SETIAP umat Islam yang mengerjakan haji dan umrah pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menziarahi Jabal Rahmah, Makkah.
Jabal Rahmah yang terletak di Padang Arafah adalah tempat bersejarah yang memiliki tiga peristiwa melibatkan tiga nabi yang telah diutusankan oleh ALLAH SWT iaitu:
1) Tempat Nabi Adam AS dan Siti Hawa ditemukan semula selepas mereka dikeluarkan dari syurga lalu turun ke muka bumi.
2) Nabi Ibrahim AS bermimpi menyembelih Nabi Ismail AS untuk kali ketiga.
3) Manakala peristiwa ketiga pula turunnya wahyu ALLAH SWT yang terakhir kepada Nabi Muhammad SAW.
Namun, tempat mulia itu kini disalah gunakan oleh segelintir pengunjung dengan melakukan perbuatan berlebihan yang disifatkan sebagai amalan khurafat.
Lebih aneh, ada pengunjung yang mengambil kesempatan untuk berdoa agar dipertemukan jodoh di tempat itu.
Susulan itu, seorang lelaki berbangsa arab menerusi videonya yang tular di media sosial bertindak menegur pengunjung yang mengagungkan sebuah tembok yang berada di atas bukit Jabal Rahmah.
Malah, lelaki berkenaan turut menegaskan perbuatan itu dimurkai oleh ALLAH SWT dan pengunjung tersebut sepatutnya meminta doa kepada Yang Maha Esa.
BACA LAGI: 15 finalis berentap rebut gelaran juara Anugerah Lagu Indie 2023, bawa pulang RM36,000
Bagi mengelak jemaah Malaysia melakukan hal yang sama, mutawif Asyraf dari Rayhar Travels turut mengingatka beberapa perkara tidak boleh dilakukan apabila menziarah Jabal Rahmah.
“Kita boleh lihat dekat batu di atas bukit Jabal Rahmah itu ada diletakkan sebanyak enam gambar rajah, cuma saya nak kongsikan beberapa perbuatan syirik yang boleh menyekutukan ALLAH SWT dan ia salah satu perbuatan dosa besar,” katanya.
1) Antara perkara yang tidak boleh dilakukan adalah berdoa sambil menghadap ke tembok di Jabal Rahmah
“Apabila sampai sini naik bukit tak jadi masalah, tak salah pun. Tapi yang salah apabila nak mintak doa, kemudian berdoa sambil menghadap ke arah tembok yang berada di atas itu (bukit Jabal Rahmah).
"Ini kerana, sebagai umat Islam kiblat kita hendaklah berdoa menghadap ke arah Kaabah," katanya.
BACA LAGI: CNBLUE kembali ke Malaysia selepas satu dasawarsa
Buat jemaah umrah dan haji yang akan datang, tolong jauhkan diri daripada buat perkara khurafat di Jabal Rahmah.
2) Perbuatan kedua yang dilarang dilakukan adalah menulis nama pasangan pada batu-batu di Jabal Rahmah
“Kita boleh lihat apabila datang ke Jabal Rahmah, batu-batu ini dah jadi macam papan putih dekat dalam kelas sekolah dah iaitu diletakkan dan dituliskan nama kekasih.
"Tujuan nama itu ditulis pada batu tersebut seolah-olah ingin meminta kepada ALLAH SWT untuk mempertemukan mereka sebagai jodoh," katanya.
Lebih mengejutkan, terdapat juga pasangan suami isteri yang melakukan hal yang sama kerana berkeinginan jodoh berkekalan.
"Bukan hanya itu, ada juga yang bertindak meletakkan gambar pada batu tersebut. Apa yang dikesalkan apabila ada gambar yang diletakkan tidak menutup aurat," katanya.
Asyraf dalam masa sama menasihatkan umat Islam untuk tidak melakukan perbuatan yang menyekutukan ALLAH SWT.
“Sesungguhnya perbuatan syirik, perbuatan menyekutukan ALLAH SWT adalah satu perbuatan kezaliman yang agung dan kezaliman yang besar.
“Kita takut dengan amaran ALLAH ini. Sesungguhnya ALLAH SWT itu tidak mengampun dan memaafkan mereka yang cuba menyekutu dan menyamakan ALLAH SWT dengan sesuatu yang lain,” ujarnya.
Tambahnya, mudah-mudahan dengan menziarah Jabal Rahmah itu makin bertambah dan erat kasih sayang antara keluarga serta dikurniakan keluarga yang sakinah, mawaddah dan warahmah.
Video pesanan itu telah dimuat naik oleh mutawwif berkenaan pada November tahun lalu sebelum ia telah dikongsikan semula di laman X pada baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram