POLIS menahan pasangan suami isteri susulan tindakan mereka membaling pasir ke arah penunggang motosikal di Jambatan Pulau Pinang, dari arah George Town ke Perai tular menerusi satu video pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya mengesan video tular memaparkan kejadian tersebut pada pukul 12.30 tengah malam Isnin.
Menurutnya, rakaman tersebut memaparkan aksi pembonceng motosikal bertindak membaling objek disyaki pasir dan cuba menendang pengguna motosikal lain yang ingin memotongnya.
“Bertindak atas maklumat, seorang lelaki berusia 50-an dan wanita berusia 30-an ditahan di George Town pada Selasa.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai tiga rekod jenayah pada 2021 dan 2023,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA LAGI: [VIDEO] Wanita dipercayai OKU libas tali, cuba terajang penunggang lain di Pulau Pinang
BACA LAGI: [VIDEO] Pasangan jatuh Jambatan Pulau Pinang, mangsa wanita dakwa ditolak pegawai kanan polis
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada esok (Rabu) bagi tujuan permohonan reman," jelas Helmi.
Majoriti pada Selasa melaporkan dua individu disyaki Orang Kurang Upaya (OKU) dirakam berpelakuan aneh apabila cuba menjatuhkan beberapa penunggang motosikal.
Menunggang di laluan kecemasan, pembonceng wanita itu didakwa sengaja ingin menjatuhkan penunggang lain yang turut menggunakan lorong berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
