SEORANG pegawai kanan polis disiasat atas tuduhan cubaan membunuh selepas didakwa menolak wanita berusia 40 tahun ke dalam laut dalam insiden pergaduhan yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang pada Isnin.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 307 kerana cubaan membunuh.
"Semakan awal mendapati lelaki berusia 37 tahun itu merupakan pegawai kanan polis dari negeri lain, manakala wanita berkenaan dipercayai teman wanitanya.
"Hasil siasatan dijalankan, kedua-dua mereka keluar dari kereta dan mula bergaduh di KM2.8 lorong menghala ke George Town kira-kira pukul 7.45 malam Isnin,” katanya.
Katanya, wanita itu mendakwa ditolak teman lelakinya sebelum terjatuh ke dalam laut.
BACA LAGI: [VIDEO] Pasangan tunang maut, nahas 5 kenderaan termasuk lori di Jambatan Pulau Pinang
"Kami akan menyiasat dakwaan tersebut dan mendapatkan keterangan daripada saksi lain mengenai kejadian itu," katanya sambil menambah pegawai kanan polis terbabit masih menerima rawatan di hospital.
"Kami akan merekodkan kenyataannya kemudian dan mangsa wanita tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Ketika ditanya sama ada pegawai kanan itu akan direman, Kok Chin berkata, pihak polis perlu mendapatkan lebih banyak keterangan daripada saksi lain sebelum memutuskan tindakan seterusnya.
Tambahnya, pegawai polis itu berdepan tuduhan kes jenayah kerana mendatangkan kecederaan secara sukarela di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan berhubung kejadian tersebut.
Terdahulu, tular di laman media apabila seorang lelaki dikatakan nekad terjun lepas dilaporkan tertolak teman wanitanya sampai terjatuh Jambatan Pulau Pinang pada Isnin.
Melalui maklumat awal yang dikongsikan warga maya, kedua-dua pasangan tersebut dilihat bergaduh mulut terlebih dahulu sebelum lelaki berkenaan didakwa secara tidak sengaja menolak kekasihnya itu sehingga terjatuh dari jambatan tersebut. — The Star / IMRAN HILMY
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram