POLIS berjaya menahan dua lelaki yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia menerusi serbuan di dua rumah di Taman Abad dan Taman Century yang berlokasi di Johor pada Isnin.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan tersebut polis juga berjaya menyelamatkan empat warga asing orang kurang upaya (OKU) yang dijadikan pengemis sekitar bandar raya itu.
"Sebuan itu dibuat menerusi Op Mega Pintas antara pukul 8 malam hingga 11.45 malam Isnin.
"Kita berjaya menyelamatkan masing-masing dua lelaki dan wanita warga China berusia antara 36 hingga 61 tahun yang juga OKU fizikal dan lumpuh.
"Dalam serbuan itu, kita turut merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama, dua kereta dan wang tunai berjumlah RM15,094," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Kamarul Zaman berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki tempatan itu berperanan sebagai 'transporter' dan menyediakan tempat tinggal bagi mangsa yang diselamatkan.
"Soal siasat awal mendedahkan mangsa mampu mengutip sehingga RM500 sehari setiap orang dan mereka sudah mengemis di sekitar bandar raya ini sejak enam bulan lalu," katanya.
Kamarul Zaman berkata, dua suspek lelaki akan direman, manakala empat warga asing itu akan dipohon perintah perlindungan sementara.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Pada masa sama, Kamarul Zaman berkata, polis Johor memandang serius kegiatan seumpama itu dan sentiasa menjalankan operasi bagi membanteras sindiket pemerdagangan orang.
"Sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan ini, boleh terus menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau hubungi Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-221 2999 atau 07-225 4677," katanya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram