Umpama Menu Rahmah, sejak 2022 masjid di Bagan Serai sedia kupon bantu pelajar kurang mampu di sekolah


  • Massa
  • Selasa, 14 Feb 2023

Setiap hari, pihak sekolah akan meletakkan kupon khas bernilai RM4.50 untuk pelajar-pelajar yang memerlukan ini di kantin sekolah. — Facebook

USAHA murni Masjid Daerah Bagan Serai, Perak menyediakan kupon makanan untuk pelajar kurang berkemampuan sememangnya patut dicontohi oleh entiti lain.

Walaupun kumpulan sasarnya berbeza berbanding konsep program Menu Rahmah namum matlamatnya selari bagi mengurangkan kos sara hidup masyarakat berpendapatan rendah (B40), sekali gus membantu meringankan beban kewangan golongan yang memerlukan.

Pengedaran kupon di bawah Program Sumbangan Anak-anak Yatim, Orang Kelainan Upaya (OKU) & Yang Berkeperluan sekitar kariah Masjid Daerah Bagan Serai itu dapat membantu keluarga tidak mampu.

Usaha murni itu dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alang Iskandar di daerah itu khusus buat golongan anak yatim, OKU dan individu yang memerlukan.

Malahan, beberapa sekolah menengah dan rendah lain di sekitar daerah ini juga terlibat menerusi usaha bersama kariah masjid Bagan Serai.

Menurut Kaunselor SMK Alang Iskandar, Mohd Lufti Sulaiman, masjid tersebut berhasrat mempunyai tabung khas untuk disalurkan kepada anak yatim dan ia merupakan program tahunan.

"Cuma kali ini pihak masjid nak khususkan dana masjid untuk tampung kos makanan anak-anak yatim.

WhatsApp Image 2023-02-13 at 22.40.27

Mohd Lufti (duduk tengah) bersama pelajar sekolah SMK Alang Iskandar.

"Setiap hari pihak sekolah akan meletakkan kupon khas bernilai RM4.50 untuk pelajar-pelajar yang memerlukan ini.

"Mereka bebas memilih untuk membeli makanan yang mereka suka seperti ayam goreng, nasi lemak atau apa sahaja asalkan makanan tersebut tidak melebihi nilai kupon tersebut.

"Pengusaha kantin akan menyimpan kupon tersebut dan bayaran akan dibuat mengikut jumlah kupon yang diterima," katanya kepada Majoriti.

Menurut Mohd Lufti lagi, matlamat program ini tentu sekali bagi meringankan bebanan pelajar kurang berkemampuan supaya dapat mengikut pelajaran dengan selesa.

"Program ini ditampung oleh tabungan khas yang diwujudkan oleh pihak masjid dan sumber kewangan tabung ini telah diperolehi daripada sumbangan ikhlas Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ahli masjid dan orang awam,” jelasnya.

Tambah Mohd Lufti, inisiatif itu sudah dimulakan sejak Januari tahun lalu dan menerima maklum balas yang positif daripada orang awam dan juga pelajar.

"Dalam sehari kami menyediakan 30 ke 40 kupon dan pelajar yang kurang berkemampuan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram