MESYUARAT Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 akan mulakan persidangan pada Isnin, yang mana ia merupakan sesi kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Persidangan itu bakal menyaksikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual menyempurnakan istiadat pembukaan tersebut.
Menurut takwim di laman web Parlimen, persidangan kali ini yang berlangsung selama 29 hari tertumpu pembentangan semula Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) oleh Anwar merangkap Menteri Kewangan, yang dijadual berlangsung pada 24 Februari.
Persidangan itu juga bakal memberi tumpuan kepada perbahasan Titah Diraja bermula 15 Februari hingga 21 Februari.
Anwar dilaporkan berkata, Belanjawan 2023 akan mengambil kira cabaran ekonomi semasa tetapi boleh memacu pertumbuhan negara, menarik pelaburan ke dalam negara serta memberi rahmat kepada rakyat.
Hasil pemerhatian Majoriti di laman media sosial, rata-rata rakyat mengharapkan agar Kerajaan Perpaduan dapat membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.
Rakyat memohon agar kerajaan segera meluluskan KWSP bersasar untuk kelangsungan hidup. — Bernama
Kebanyakan daripada mereka memohon Perdana Menteri untuk mempertimbangkan perkara tersebut kerana ia boleh mengurangkan beban rakyat ketika ini.
Menurut Den Byrd, rakyat semakin tenat dengan ekonomi yang tidak menentu selepas pandemik Covid-19 melanda dunia.
"Luluskan KWSP bersasar. Pencarum sudah semakin terdesak, tambahan pula harga barang semakin naik. Luluskan dengan segera kerana rakyat sudah 'tenat'. Tolong fikirkan rakyat, jangan pentingkan diri sendiri."
Pendapat Den Byrd itu dipersetujui seorang lagi warganet, Rahmat Ibrahim.
Katanya, sebaiknya kerajaan luluskan KWSP bersasar kerana kos sara hidup yang meningkat. Ada yang terpaksa jual harta dan tinggal sehelai sepinggang. Jadilah pemimpin yang mengotakan janji untuk membantu rakyat. Kami terdesak," katanya.
Rakyat menyeru agar kerajaan mempunyai mekanisme baru untuk menurunkan harga barang mentah ketika ini.
Sementara itu, Luis Gucci pula berharap agar kerajaan menurunkan harga barangan mentah dan minyak petrol.
"Harapan kami orang miskin lagi daif ini satu sahaja, tolong turunkan semua harga barang makanan dan minyak petrol.
Aziq Muhamad turut meminta agar kerajaan dapat mencari mekanisme baharu dengan menurunkan harga barang mentah.
"Kalau Menu Rahmah boleh didapati dengan harga RM5, tidak mustahil juga harga barang mentah boleh diturunkan. Minta pihak yang berkaitan usulkan perkara tersebut di Parlimen nanti," katanya.
Bagi Shahrul Hirra pula, dia meminta agar kerajaan Madani untuk menstabilkan harga-harga getah dan sawit pada satu tanda aras yang sesuai.
"Stabilkan dulu harga getah dan sawit mengikut mekanisme yang sesuai. Selepas itu, kawal juga harga barang. Bantu rakyat tanpa mengira siapa pun mereka, " tulisnya.
Dari segi sektor kesihatan pula, ada individu yang mengharapkan kerajaan menyambung kontrak pekerja kesihatan.
Sementara itu, Nsmz Mazlina NAsro Nsmz menyuarakan beberapa cadangan untuk Belanjawan 2023.
Antaranya termasuk menyediakan satu platform ekonomi kepada golongan B40 dan bukan beri bantuan kewangan semata-mata.
“Bagi peluang kepada mereka satu kemudahan untuk menjana ekonomi diri dan keluarga,” katanya.
Tulisnya lagi, kerajaan juga perlu memberikan dana kemudahan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dan ahli keluarga pemegang kad OKU tanpa mengira status ekonomi berdasarkan pendapatan isi rumah.
"Permudahkan pengeluaran KWSP, sebab duit itu diperlukan untuk kelangsungan hidup pada masa ini. Hak mereka, sebab itu duit mereka. Macam mana mahu meneruskan kehidupan jika tiada sumber kewangan. Harap ada serba sedikit permintaan ini ditunaikan. Kasihan rakyat yang menanggungnya," katanya.
Dari segi sektor kesihatan pula, Miqael Aqeem Miqaeyla mengharapkan kerajaan menyambung kontrak pekerja kesihatan (bukan tajaan).
"Kaedah penamatan kontrak secara singkat melalui WhatsApp adalah satu tindakan zalim bagi pekerja yang sudah bertahun-tahun bekerja di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tolong jangan aniaya pekerja-pekerja yang sedia ada," katanya.
Rakyat mahu rumah mampu milik. — Gambar hiasan
Hamdiah Mili pula berharap agar kerajaan dapat menurunkan harga rumah.
"Turunkan harga rumah dan beri peluang pada mereka yang tidak punya rumah supaya dapat membeli rumah kos rendah.
"Apa yang saya lihat mereka yang bergaji tinggi, hidup mewah dengan kereta mewah rumah sampai dua buah, tetapi apabila mohon rumah kos rendah, mereka yang dapat dahulu sedangkan rakyat yang gaji kecil tak punya kereta terpaksa duduk rumah sewa.
"Sudahlah sewa mahal, sempit pula itu. Terpaksa ikat perut apabila mohon rumah kos rendah jawapan yang mereka beri tak layak. Rumah kos rendah tu untuk orang yang macam mana ya?" soalnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram