SEORANG pemilik bengkel kereta hanya mampu berputih mata apabila kereta jenis Volkswagen MK6 Golf GTi miliknya dilarikan penyamun di depan kedai miliknya baru-baru ini.
Melalui video tular yang dimuat naik di Tiktok joe_salleh, terlebih dulu memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi menghampiri kereta mangsa berwarna merah yang diparkir di kawasan letak kereta di depan sebuah premis kedai.
"Kes curi kereta, buat kerja pun time peak hour. Kau gangster sangat kan," tulisnya.
Kejadian itu dipercayai berlaku pada pada Jumaat berdasarkan tarikh rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) salah sebuah kedai di kawasan tersebut.
Menurut pemilik akaun TikTok berkenaan, kejadian tersebut berlaku di Subang Bestari, Subang, Petaling Jaya, Selangor.
Dalam video berdurasi lebih daripada seminit itu, Myvi berwarna kelabu itu pada mulanya dilihat bergerak perlahan di kawasan premis berkenaan sebelum memberhentikan kenderaan di belakang kereta mangsa.
Salah seorang suspek kemudiannya dilihat keluar dari bahagian penumpang dan menghampiri kereta merah berkenaan. Suspek kemudian dengan selamba membuka pintu kereta dan terus melarikan kereta tersebut dari lokasi.
Dalam video berasingan, kelihatan orang awam cuba mengejar kereta merah tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memberikan reaksi yang berbeza berhubung isu tersebut.
Muhammad Hanif berasa hairan dengan kepantasan suspek yang melarikan kenderaan tersebut.
"Aku kagum dengan mamat yang curi kereta itu, cepat gila dia buat kerja. Macam mana dia boleh curi?," soalnya.
Seorang lagi netizen, Nik_12 berasakan zaman sekarang sudah tidak aman kerana pada waktu siang pun sudah ada yang berani melakukan jenayah.
"Kita dah tak selamat, tak aman. Makin lama makin teruk, siang-siang hari berani lakukan jenayah. Berani betul," tulisnya.
Hasil pemerhatian Majoriti di ruangan komen, difahamkan pemilik kenderaan berkenaan sudah melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.
Namun setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram