LANGKAH digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia tidak akan menyebabkan kesesakan ketika sekatan jalan raya yang dijalankan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata, sistem baharu tersebut memudahkan lagi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Ini adalah kerana untuk kedua-dua entiti tersebut juga akan beralih ke arah yang lebih moden seiring dengan langkah digitalisasi ini,"
"Kita juga akan ke arah yang lebih moden dan lebih cepat. Sekarang ini kita lihat pihak penguatkuasa lebih tertumpu ke arah sekatan jalan,"
"Namun selepas ini, sistem itu akan menjadi lebih mudah kerana penguatkuasa hanya perlu satu gadget untuk lihat kenderaan-kenderaan yang lalu," katanya dalam sidang media pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Syed Mohd Faizal Said Ahmad berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan oleh menteri pengangkutan tersebut.
Menjawab persoalan sama ada ia akan menyebabkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya sekiranya sekatan dijalankan, Syed Mohd berkata, ia sama sekali tidak mengganggu aliran trafik.
"Biasanya sekatan jalan raya sangat jarang dilakukan di lebuh raya dan LLM sendiri lebih menitikberatkan keselamatan kenderaan awam dan kenderaan berat.
"Pada masa sama, capaian internet yang kurang memberangsangkan bukanlah satu isu di sini. Saya yakin pihak PDRM dan JPJ semestinya sudah meneliti masalah tersebut.
"Saya yakin dengan paparan lesen digital ini akan memudahkan aliran trafik di lebuh raya," katanya kepada Majoriti.
Mulai Jumaat, warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui portal awam JPJ atau aplikasi telefon pintar MyJPJ yang dilaksanakan di bawah satu projek perintis secara dalaman.
Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasa pertama membabitkan kenderaan persendirian individu, termasuk motosikal (warganegara), mengambil kira kesediaan sistem dan penerimaan awam terhadap pelaksanaannya sebelum kiasan pelaksanaannya ke fasa seterusnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram