Naib Ketua Pemuda Umno Melaka gesa Anwar ambil tindakan terhadap Ramasamy


  • Politik
  • Ahad, 12 Feb 2023

Muhamad Akmal berharap Perdana Menteri akan mengambil tidakan tegas terhadap Ramasamy. — Facebook/Akmal Saleh

KENYATAAN yang dikeluarkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy berbaur sensitif pada Jumaat mendapat kritikan hebat bukan sahaja daripada rakyat malah juga daripada ahli politik yang lain.

Ramasamy dalam kenyataannya menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwa didominasi oleh kaum Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Isu panas yang dibangkitkan Ramasamy ibarat ingin memecah-belahkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dan seolah-olah memberi bayangan bangsa lain tidak mendapat peluang pekerjaan yang sama dalam sektor kerajaan.

Dakwa beliau, hujah lama yang memihak kepada penguasaan Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi Cina tidak lagi terpakai.

Ini kerana, kata Ramasamy, hujah berkenaan digunakan bekas Perdana Menteri itu untuk menginstitusikan hegemoni Melayu khususnya dalam perkhidmatan awam.

Tidak terkecuali mengkritik kenyataan Ramasamy ialah Naib Ketua Pemuda Umno Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau turut meminta Anwar mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin tersebut.

"Kepada Perdana Menteri, jika atlet kita dikenakan tindakan atas kenyataan yang berbaur perkauman walaupun atlet itu tidak menyebut mana-mana bangsa atas kenyataan itu, maka saya harap tindakan yang sama malah lebih tegas juga perlu diambil terhadap individu ini.

"Malaysia tidak memerlukan pemimpin yang sebegini. Jika tiada tindakan diambil, saya percaya ini akan menjadi barah di dalam kerajaan perpaduan ini, " tulisnya di halaman Facebook peribadi beliau pada Sabtu.

Muhamad Akmal turut mengingatkan bahawa sektor perkhidmatan awam didominasi bangsa Melayu kerana kaum tersebut merupakan bangsa yang teramai di negara.

"Kepada YB Ramasamy, dominasi kaum Melayu di dalam sektor perkhidmatan awam salah satu sebab utamanya adalah bangsa Melayu di negara ini adalah sebanyak 60 peratus.

"Maka sudah tentu perkhidmatan awam didominasi oleh kaum yang teramai.

"Boleh lihat di mana-mana negara dalam dunia, bangsa apa yang mendominasi perkhidmatan awam negara mereka, sudah tentu ia akan didominasi oleh bangsa yang dominan di dalam negara tersebut," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram