[VIDEO] Padah rem motor ekzos bising di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, suspek dilayang 7 'surat cinta'


  • 112
  • Isnin, 13 Feb 2023

Tangkap layar kejadian anggota polis menahan seorang remaja yang membunyikan ekzos dengan bising di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, Selangor.

PADAH membuat kacau dengan mengganggu ketenteraman awam di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, Selangor, seorang remaja lelaki bukan sahaja ditahan polis tetapi turut dikenakan tujuh saman pada Ahad.

Dalam satu video tular yang dimuat naik di akaun TikTok Mancina memaparkan seorang anggota polis sedang bergelut dengan suspek yang cuba melarikan diri.

"Benda pun dah jadi, enjoy saja la. Moga owner tabah," tulisnya.

Difahamkan, suspek sebelum kejadian membuat bising dengan membunyikan ekzos dengan kuat sehingga mengganggu orang awam yang sedang beriadah di lokasi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian pukul 12.20 tengah malam Ahad, Unit Rondaan Bermotosikal membuat pemantauan dan pemeriksaan di lokasi selepas sekumpulan individu bermotosikal bertindak membuat bising.

"Suspek merupakan seorang lelaki Melayu berusia 19 tahun terlibat dalam aktiviti tersebut bertindak melarikan diri, tetapi terjatuh ketika membuat pusingan.

" Suspek dan motosikal miliknya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Mohd Iqbal, sebanyak tujuh saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan. Motosikal milik suspek juga disita di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram