SEORANG anggota polis dipercayai cedera parah selepas dilanggar oleh seorang penunggang motosikal berhampiran kawasan Perumahan PR1MA Lubok Jong, Pasir Mas, Kelantan pada Jumaat.
Kejadian tersebut sempat dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian dan dimuat naik semula oleh Yakuza RimauNaga di Facebook Kemalangan Jalan Raya Hari Ini 2023.
"Maklumat awal seorang penunggang motosikal enggan berhenti untuk pemeriksaan dan merempuh anggota sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) polis berhampiran Taman rekreasi Tengku Anis/Perumahan PR1MA lubok Jong, Pasir Mas pagi tadi (Jumaat)," tulisnya.
Dalam video berdurasi 15 saat itu memaparkan dua orang anggota polis sedang berdiri tengah jalan raya terbabit dan motosikal itu datang dari arah hadapan.
Salah seorang daripada anggota tersebut yang berpakaian preman cuba menahan suspek yang menunggang motosikal sebelum suspek melanggarnya.
Kedua-duanya terlihat jatuh di bahagian kiri jalan raya tersebut. Suspek tersebut kemudiannya dilihat bangun dan terus melarikan diri ke kawasan rumah penduduk tempatan.
Seorang lagi anggota yang bertugas dilihat cuba mengejar mangsa.
Ini adalah kejadian kedua berlaku di Kelantan yang melibatkan orang awam melanggar pihar berkuasa ketika SJR.
Pada Khamis, media melaporkan seorang anggota polis berpangkat konstabel cedera selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang khayal kesan daripada air ketum di SJR di Jalan Kutan, Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, suspek yang berusia 26 tahun itu turut dipercayai memandu dalam keadaan khayal dadah jenis pil epam selain mabuk ketum.
"Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam Khamis semasa anggota polis yang berusia dalam lingkungan 20-an itu sedang memeriksa kenderaan yang melalui SJR tersebut.
"Ketika itu, kereta jenis Proton Wira yang dipandu suspek berada di belakang sebuah kenderaan yang sedang diperiksa anggota polis itu tiba-tiba memecut laju.
“Keadaan itu menyebabkan anggota polis itu dirempuh kereta suspek sebelum tercampak ke seberang jalan. Mangsa yang luka pada lengan, tapak tangan dan dahi dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.
“Suspek bagaimanapun berjaya ditahan dan dibawa ke Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan kini direman selama empat hari bermula semalam.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram