TATKALA undi daripada anak muda atau Undi18 memberi antara peranan paling besar dalam pilihan raya, kerajaan yang dipilih juga perlu membenarkan golongan itu untuk bersuara.
Apatah lagi, golongan itu terutamanya mahasiswa dan mahasiswi merupakan pelapis bagi kepimpinan negara kelak.
Menyambut baik perkara itu, Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim membenarkan mahasiswa serta pelajar bebas untuk memberikan kritikan, serta menyuarakan pandangan mereka untuk menegur kerajaan.
Ini tidak mengambil kira ucapan mencerca, bersifat perkauman atau fahaman agama melampau.
Anwar dilaporkan berkata, ia penting untuk melahirkan golongan pelajar yang mempunyai daya fikir kritikal, sekali gus menjadikan institusi pengajian sebagai platform percambahan idea.
Kenyataan itu dijangka akan menimbulkan rasa teruja dalam kalangan pelajar untuk lebih lantang bersuara, demi kepentingan sektor pendidikan dan pembangunan negara.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut antara perkara yang dijangka bakal menjadi topik tumpuan dalam kalangan pelajar:
1. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
Isu pembayaran PTPTN merupakan topik yang sering kali dibincangkan oleh pelajar dan graduan saban tahun.
Seperti yang kita ketahui, topik PTPTN sememangnya tidak akan habis dibincangkan walaupun kerajaan sudah beberapa kali bertukar pemimpin.
Seorang pengguna media sosial, Aiman Ahmad mengharapkan kerajaan kali ini agar memberi diskaun yang lebih banyak kepada peminjam bagi melangsaikan bayaran PTPTN.
"Aku nak suggest (cadang) satu saja, perkenalkan semula diskaun PTPTN. Sekarang ekonomi teruk dan ramai graduates (graduan) yang belum dapat kerja. Macam mana nak bayar, sedangkan aku sendiri pun struggle," tulisnya.
Selain itu, ada juga yang berharap agar Perdana Menteri mengotakan janji seperti yang ditulis dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk memperkenalkan Program Pemansuhan Hutang bersasar khas kepada golongan miskin dan isi rumah B40.
2. Biasiswa pelajar
Jika melihat pada keadaan sekarang, sesetengah pelajar pengajian tinggi sememangnya memerlukan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran mereka.
Sehubungan itu, biasiswa merupakan satu agenda utama yang dilihat akan menjadi topik utama untuk dibahaskan bersama Perdana Menteri atau pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Pada masa sama, orang awam melihat sekiranya lebih banyak biasiswa yang diperkenalkan tentu dapat mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman PTPTN dalam kalangan keluarga miskin.
3. Peluang pekerjaan selepas menamatkan ijazah
Peningkatan jumlah graduan dan siswazah menganggur semakin meningkat saban tahun.
Situasi peluang melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi pada masa sekarang dilihat bukan lagi jaminan untuk mengubah nasib keluarga dan diri.
Manakan tidak, peningkatan jumlah graduan dan siswazah menganggur semakin meningkat saban tahun.
Mungkin ada yang berasakan graduan ini terlalu memilih, namun begitu, jika dilihat pada trend terkini ada di antara mereka yang terpaksa menceburi pekerjaan bukan bidang pengajian, selain dibayar gaji tidak setimpal kelulusan dimiliki.
Tanpa pekerjaan atau pendapatan yang setimpal, sukar buat graduan ini membantu keluarga masing-masing dan meneruskan kelangsungan hidup.
Sehubungan itu, pastinya ramai yang mengharapkan Kerajuan Perpaduan dapat mengubah senario ini ke arah yang lebih baik pada masa akan datang.
5. Kos sara hidup pelajar
Walaupun program Menu Rahmah diperkenalkan di universiti awam dan Swasta, namun ia dirasakan tidak cukup untuk menampung kos seharian pelajar.
Kos sara hidup bukan sahaja melibatkan mereka yang sudah bekerja, malah pelajar juga menerima nasib yang sama.
Acap kali kita terdengar luahan pelajar yang terpaksa makan mi segera sebagai salah satu penjimatan wang saku di menara gading.
Lebih malang, ramai dalam kalangan siswazah yang menanggung lapar itu tergolong dalam kelompok kumpulan isi rumah terendah, B40 dan keluarga miskin.
Walaupun program Menu Rahmah diperkenalkan di universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta, namun ia dirasakan tidak cukup untuk menampung kos seharian pelajar.
Hal itu kerana, pelajar masih terpaksa mengeluarkan wang bagi membeli buku atau peralatan yang digunakan ketika pengajian mereka.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah memperkenalkan Kad Debit-i Diskaun Siswa 1 Malaysia (KADS1M) dan Baucar Buku 1 Malaysia.
Pelaksanaan itu disambut baik oleh ibu bapa dan pelajar itu sendiri kerana dapat mengurangkan beban yang ditanggung.
Manifesto PH sebelum ini turut berjanji akan memperkenalkan Kad Belia yang dinaik taraf dari Kad Siswa sedia ada, dan akan digunakan oleh anak muda berumur antara 13 hingga 25 tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,