SISTEM Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) yang ditutup pada hujung ini bertujuan menambahbaik dan tidak menjadi tekanan kepada guru, kata Fadhlina Salleh.
Menteri Pendidikan itu berkata, beliau menerima banyak aduan dan keluhan berkaitan sistem itu yang tidak dapat berfungsi seperti mana diharapkan para guru.
"Bagi pihak KPM (Kementerian Pendidikan), saya amat kesal dan memohon maaf atas kesulitan dan tekanan yang terpaksa dilalui oleh para guru.
"KPM akan mengambil beberapa langkah termasuk menggerakkan pasukan pegawai di peringkat daerah dan negeri untuk ke sekolah-sekolah bagi membantu guru mengemaskini data dan melengkapkan proses kerja berkaitan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Beliau membangkitkan perkara itu, selepas timbul rungutan guru yang tidak berpuas hati dengan sistem tersebut yang sudah lebih seminggu tidak dapat diakses dengan baik.
SPPB merupakan satu sistem pengurusan pentaksiran terkini, berterusan dan menyeluruh bagi semua jenis pentaksiran KPM sama ada berkaitan murid, guru dan institusi pendidikan.
Mengulas mengenai perkara sama, Dr Maszlee Malik berkata, beliau sudah pun menyampaikan segala keluhan, rintihan dan bebanan para pendidik kepada pihak berwajib.
Jelas bekas Menteri Pendidikan itu, beliau ketika ini hanya mampu berdoa agar aduan dan keluh-kesah itu diambil secara cakna dan ditangani segera.
"Saya tidak mampu untuk melakukan lebih dari ini kerana saya tidak punya apa-apa.
"Saya hanyalah penyampai suara kalian kepada sang penggubal dasar semasa," tulisnya di laman Facebook.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram