GOLONGAN pendidik merupakan antara insan yang paling banyak menyumbang kepada negara dengan usaha mereka khususnya di peringat persekolahan telah membentuk seseorang individu itu sejak dari peringkat awal.
Namun, kebelakangan ini laporan media menunjukkan golongan pendidik meluahkan kekecewaan mereka berhubung sistem laman sesawang Kementerian Pendidikan (KPM) yang dikatakan kerap mengalami gangguan teknikal sehingga menyukarkan tugasan memasukkan data dan sebagainya.
Perkara itu secara tidak langsung mendatangkan kesan mendalam buat pendidik dengan data daripada KPM menunjukkan bilangan tenaga pengajar sekolah melebihi 400,000 orang setakat ini.
Majoriti sebelum ini melaporkan, guru pempengaruh, Mohd Fadli Salleh mengambil masa kira-kira 10 hingga 20 minit untuk memasukkan data, namun apabila butang hantar ditekan, sistem berkenaan terus tergendala.
Terbaharu, beliau sekali lagi mengeluarkan kenyataan 'panas' di laman Facebook peribadi dengan mempersoalkan bilangan 'server' pihak pendidikan kini hanya mampu menampung kira-kira 1,000 orang guru sahaja berbanding jumlah asal.
Kenyataan dimuat naik oleh Fadli Salleh di laman Facebook baru-baru ini.
Isu tersebut kian berlarutan dengan beberapa lagi guru lain turut berkongsi pengalaman sama di laman media.
Ada berpendapat, sistem yang digunakan ketika ini serba kekurangan daripada segala aspek dengan ia boleh dikategorikan sebagai 'server' Rahmah.
"Ini namanya 'server' Rahmah, siang hari tak boleh masuk sistem tapi bila malam baru laju, masalahnya guru perlu mengisi data sebelum 9 pagi, kalau setakat untuk 1,000 orang je baik tak payah," kata Othman Nazri.
"Sistem perlu dinaik taraf tapi perbaiki dulu kelemahan yang ada, akhir semester kerja menimbun tetapi sistem setara zaman buruh nelayan dan juga petani, sekarang dah zaman TikTok muat naik pukul 9 pagi, pukul 9.01 dah tular jadi tolonglah perbaiki sistem," ujar Arutsam Suhail Safrin.
"Bajet diperuntukkan untuk pendidikan banyak, apa salahnya kalau naik taraf sistem 'server' untuk memudahkan urusan pendidik," tambah Firdaus Johan.
Dalam pada itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan KPM supaya menambah 'server' pada masa akan datang.
Pihak berkenaan menggesa Menteri Pendidikan untuk menaik taraf 'server' KPM kepada sekurang-kurangnya empat stesen termasuk di utara, selatan, timur, barat serta Sabah dan Sarawak seperti dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.
Namun, belum ada sebarang tindakan diambil pihak KPM setakat ini dengan harapan seluruh warga pendidik kini menggesa agar ada perubahan serta penambahbaikan segera diambil pihak berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram