Jangan hanya gah jaja istilah, rakyat desak 3 perubahan drastik pendidikan di sekolah


  • Massa
  • Sabtu, 04 Feb 2023

Fadhlina dalam SLU yang berlangsung pada Jumaat. — Facebook/Fadhlina Sidek

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) pada Jumaat telah mengadakan Sesi Libat Urus (SLU) bersama Pemegang Taruh bidang pendidikan bagi mendengar sesi pembentangan daripada semua kumpulan yang mewakili segmen pendidikan.

SLU yang dianjurkan bersama dengan Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM bertujuan bagi mendapatkan saranan dan cadangan tambah baik sistem serta pengurusan pendidikan negara.

Antara perkara menarik yang dibincangkan adalah penggunaan istilah baharu yang digunakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek iaitu KPM: Kami Pro Mendengar.

Istilah itu sekali gus menggambarkan bahawa KPM sentiasa membuka pintu untuk sebarang cadangan dan kritikan konstruktif bagi tujuan menambah baik dan melonjakkan kualiti pendidikan negara.

pa

Sesi pembentangan yang berlangsung ketika Sesi Libat Urus (SLU) yang dianjurkan bersama dengan Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM. — Facebook/Fadhlina Sidek

Dalam pada itu, masyarakat khususnya ibu bapa masa kini dilihat lebih menitik beratkan soal silibus dan beberapa lagi isu yang dihadapi oleh anak-anak mereka di persekolahan.

Penularan wabak Covid-19 yang berlaku sebelum ini telah mengakibatkan banyak perubahan dan kemerosotan mendadak pada taraf pendidikan persekolahan negara.

Enggan menyalahkan mana-mana pihak, seorang warganet di Facebook yang menggunakan akaun nama Rusydi Halim menggesa pihak kementerian untuk kembali memeriksa segala isu yang berbangkit dalam kalangan pelajar ketika ini.

Silibus mata pelajaran

Kebelakangan ini, laman media sosial kerap dihiasi dengan perkongsian contoh-contoh silibus dan soalan mata pelajaran di sekolah rendah yang dikatakan terlampau rumit dan sukar untuk difahami pelajar.

Perkara itu mendapat pelbagai reaksi warganet dengan rata-ratanya bimbang silibus dan soalan sedemikian akan membebankan murid dan menyebabkan mereka hilang minat untuk belajar.

Keberkesanan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang diterapkan dalam silibus pengajian juga dikatakan tidak relevan dengan usia pelajar yang masih lagi di peringkat sekolah rendah.

Subjek matematik antara yang paling kerap dikaitkan dengan soalan jenis KBAT dan sesetengah ibu bapa menganggap perkara itu hanya mendatangkan beban dan stres pada anak-anak mereka.

Penyelarasan kenaikan darjah

Lanjutan wabak Covid-19 yang melanda, pelajar sekolah kini terpaksa kekal dalam darjah dan tingkatan masing-masing selepas jadual pembukaan sekolah dianjakkan beberapa bulan ke hadapan sejak dua tahun lalu.

Ini mengakibatkan pelajar generasi sekarang agak sedikit ketinggalan dari segi tahap pembelajaran yang sepatutnya diperoleh dengan pelajar di usia 18 tahun akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Situasi itu dilihat sedikit merugikan masa bagi mereka yang terkesan selain kos perbelanjaan serta perancangan ibu bapa juga akan terjejas dengan kemasukan pelajar ke alam persekolahan bukan lagi di ambang tahun baharu.

Justeru, pihak kementerian digesa untuk kembali menyusun dan menyelaras jadual kemasukan pelajar ke sesi persekolahan yang baharu dengan konsep asal yang dilakukan sebelum ini.

Fokus subjek kemahiran

Tidak jauh dari konteks silibus seperti yang dinyatakan di atas, ibu bapa masa kini dilihat lebih mengutamakan subjek berasaskan kemahiran berbanding ilmu akademik semata-mata.

Menurut salah seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Yusni Yasin, silibus sekarang terlampau mementingkan akademik berbanding skil kemahiran yang jauh lebih diperlukan dalam era teknologi kini.

"Lebihkan subjek yang membina kemahiran, skil dan praktikal berbanding mata pelajaran yang terlampau banyak menghafal.

"Bila masuk kerja semua itu tak akan ditanya kerana yang lebih utama adalah skil serta pengalaman seseorang individu itu sendiri," katanya.

Tidak dinafikan, di peringkat pengajian tinggi ada beberapa kolej dan universiti yang dikhaskan untuk pendidikan kemahiran namun, di peringkat sekolah ia masih lagi berkurangan dengan langkah itu boleh dimulakan melalui subjek serta silibus di persekolahan.

Demikian merupakan antara beberapa indikasi yang perlu diambil kira KPM bagi menentukan sama ada silibus diterapkan membebankan murid ataupun tidak.

Oleh itu, diharap pihak berwajib sedia untuk mengambil segala saranan warganet yang rata-ratanya terdiri dalam kalangan ibu bapa pelajar yang jelas risau akan perkembangan anak-anak mereka ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram