KEPENTINGAN sains dalam kehidupan seharian sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi memandangkan subjek menjadi satu topik yang tidak ternilai dan apa sahaja yang berada di sekeliling kita saling berkait rapat dengan sains.
Namun dalam soal pembelajaran, subjek sains diakui sebagai salah satu proses pembelajaran yang tidak diminati semua pelajar sekolah.
Manakan tidak, sukatan dan soalan mata pelajaran itu seperti tidak tercapai dek akal oleh sesetengah pelajar setiap kali tibanya musim peperiksaan.
Majoriti sebelum ini melaporkan Pakar Obstetrik Hospital Pakar KPJ, Dr Imelda Balchin meluahkan kerisauan selepas melihat soalan subjek Sains yang dirangka untuk pelajar Tingkatan Enam.
Beliau turut menyifatkan soalan tersebut terlalu sukar untuk pelajar sekolah menengah yang mengambil subjek Sains.
Hal ini kerana, soalan tersebut sebenarnya untuk silibus doktor-doktor pelatih di dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi.
Gambar soalan pembelajaran sains yang dikongsikan oleh Dr. Imelda. — Facebook/Dr. Imelda
Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Pensyarah Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Othman Talib berkata, perkara tersebut bukanlah kali pertama berlaku.
Sebelum ini pun wujud isu yang melibatkan silibus yang 'menyusahkan' pelajar sama ada di peringkat sekolah menengah ataupun sekolah rendah.
"Jika kita lihat, saban tahun soalan peperiksaan atau pembelajaran yang diberikan agak tidak masuk akal.
"Apa yang dikatakan doktor pakar itu betul. Soalan sains yang terlalu mendalam tidak memberikan hasil pada pelajar sebaliknya membuatkan pelajar lebih keliru sekali gus membuatkan mereka tidak berminat untuk belajar.
"Sepatutnya pendidikan sekolah rendah dan menengah dipenuhi dengan aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan, aktif dan berupaya meningkatkan motivasi serta rasa ingin tahu murid-murid untuk terus belajar," katanya kepada Majoriti.
Contoh Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) pelajar sains tahun 4 yang berbeza dengan soalan Key Stage UK (Year 4). — Facebook/Dr Othman
Pada masa sama, Othman turut mempersoalkan kewajaran Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan sukatan dan soalan mata pelajaran di yang terlalu sukar difahami pelajar.
"Saya bagi contoh Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) pelajar sains tahun 4 yang berbeza dengan soalan Key Stage UK (Year 4).
"Topik sama iaitu Bunyi/ Sound tetapi penggunaan gambar dan soalan yang berbeza.
"Soalan UK lebih realistik kepada murid Tahun Empat dan melibatkan mereka berfikir. Malah contoh alatan dalam gambar pun mudah difahami murid.
"Dalam kaedah sesuatu pembelajaran seharusnya memudahkan pelajar dan bukan membebankan mereka," katanya.
Pensyarah UPM itu yang juga penulis 17 buku ilmiah selalu ke luar negara untuk meneliti pelbagai sistem pendidikan, khususnya di negara Barat yang boleh dijadikan contoh kepada Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram