ISU pendidikan di negara seperti tidak menemui sinar di hujung lorong walaupun sudah memasuki tempoh bulan kedua kerajaan terbentuk.
Perkara tersebut diluahkan pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad selepas melihat tiada perubahan dalam sistem pendidikan negara selepas Menterinya, Fadhlina Sidek menyandang jawatan tersebut sejak 5 Disember lalu.
"Sebagaimana yang dihasratkan kepada rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Usaha dan tindakan untuk menjayakan reformasi pendidikan akan dimulakan sebaik sahaja terbentuknya kerajaan.
"Hari ini (Isnin) sudah 60 hari kerajaan terbentuk. Apakah anda sudah nampak pelan tindakan untuk menjayakan reformasi pendidikan?," soalnya.
Pada masa sama, Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang diaktifkan semula juga dilihat tidak menunjukkan hasil yang memberansangkan.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) melantik sembilan individu yang terdiri daripada pelbagai bidang dan latar belakang kepakaran untuk menganggotai MPPK bagi sesi 2023 hingga 2025.
Pasukan itu akan dipengerusikan mantan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin.
Menurut seorang pengguna Facebook, Jaafar Rizan, jika dilihat pada pada sistem pendidikan sebenarnya tidak membudayakan proses pengajaran dan pembelajaran itu tetapi lebih kepada garis panduan ketat yang perlu diikut.
"Selain itu, dasar dan polisi yang selalu berubah saban tahun menyebabkan masyarakat, guru dan pelajar itu sendiri semakin keliru.
"Mungkin mereka yang berada dalam MPKK itu juga terkeliru," tulisnya.
Sementara itu, Ramli Mohammad berkata, sejak wujudnya Kerajaan Perpaduan, saya tidak nampak satu hasil pun daripada agenda reformasi pendidikan negara.
"Walaupun MPKK diaktifkan semula, hasilnya belum berubah.
"Mungkin 'baja' tak cukup kerana keahlian anggota MPPK tersilap pilih. Siapa punya cadangan," tulisnya.
Sementara itu, Joseph pula merasakan MPKK yang diaktifkan semula oleh kerajaan itu seperti sia-sia.
"Kalau MPKK setakat buat kajian kemudian mesyuarat tindakan seterusnya membuat kajian lagi, rasaya tidak perlu wujud MPKK ini.
"Sampai bila nak kaji? Jika mahu lakukan transformasi biarlah dilaksanakan dengan menyeluruh," katanya.
Citra Thanapal pula merasakan nasib para pendidik dan pelajar seperti tikus makmal.
"Nasib warga guru dan pelajar masih di makmal untuk diujikaji, tiada kesudahannya," tulisnya.
Sebelum ini, media melaporkan, MPPK akan menumpukan kepada pelbagai perkara membabitkan bidang pendidikan, termasuk bebanan tugas guru yang akan menjadi isu utama kepada pihak terbabit untuk diperhalusi.
Hasil dapatan MPKK bagi penyelesaian terbaik dalam menangani isu tersebut akan dikemukakan kepada Menteri Pendidikan untuk dipertimbangkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram