Isu sekolah mula 8 pagi bikin ibu bapa 'berbalah', KPM diminta rangka sampel kajian


KPM juga disaran untuk melihat semula isu lebih besar berbanding menukar waktu sesi persekolahan.— Gambar hiasan

SARANAN untuk menukar waktu sesi persekolahan di Semenanjung bermula pukul 8 pagi yang diutarakan oleh Dr Anuar Ahmad, mendapat pelbagai respons khususnya ibu bapa dan guru di negara ini.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan, Pakar Pendidikan dari Pusat Kajian dan Kesejahteraan, Pendidkan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, kerajaan perlu mempunyai rasa belas kasihan dan empati terhadap keadaan guru-guru, ibu bapa dan anak-anak yang kebanyakannya terpaksa bangun seawal pukul 4.30 pagi.

Di kawasan bandar, katanya, mereka terpaksa meredah kesesakan seawal pukul 6 pagi untuk ke sekolah.

Sementara itu di kawasan pedalaman, jelasnya, terdapat murid-murid yang terpaksa bersusah-payah untuk menuju ke sekolah tatkala cuaca masih gelap, termasuk melalui jalan becak dan berlumpur, meredah denai kecil dan berperahu.

Untuk rekod, sesi persekolahan ketika ini bermula pukul 7.30 pagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen dilihat memberi luahan positif tentang saranan tersebut.

file7nyx9c95ynq1bvbc7m2y

Ada yang berpendapat, ibu bapa tidak perlu tergesa-gesa menghantar anak mereka ke sekolah jika waktu persekolahan bermula pukul 8 pagi.

Pengguna yang hanya dikenali sebagai Cikgu Melayu menyifatkan cadangan tersebut sebagai rasional, berikutan ia boleh memberi waktu kepada murid-murid untuk menunaikan solat Subuh.

"Sedih bila cikgu tanya, murid kata tak solat Subuh sebab tak sempat, sedangkan solat fardhu wajib dilaksanakan walaupun terlewat.

"Yang sekarang, pukul 7.30 pagi, guru-guru yang ada anak kecil atau besar, nak ke rumah pengasuh, nak hantar anak sekolah menengah, nak hantar isteri ke tempat kerja, disuruh datang sebelum 7.30 pagi. Lambat sikit guru besar dah merengek macam budak kecil."

Zaifar Irfan berkata: "Cadangan yang baik bagi suami isteri yang bekerja. Sesuai dengan masa.Tak perlu tergesa-gesa untuk hantar anak ke sekolah lebih awal."

Jelas Naz Ayie: 8 pagi atau 8.30 pagi waktu sesuai. Ibu bapa tak ada terkejar-kejar, lagi yang ada ramai anak. Bagi mereka yang nak hantar anak awal, hantarlah awal."

file7new2tm8ksx1d1z51j7u

Ada juga berpendapat, waktu persekolahan sesi pagi ketika ini sudah sesuai.

Sementara itu, ada juga netizen yang tidak bersetuju tentang cadangan tersebut, selain menegaskan waktu persekolahan sesi pagi ketika ini sudah sesuai.

Rata-ratanya berpendapat, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu melihat semula isu lebih besar berbanding menukar waktu sesi persekolahan.

Nurul Hayati Yaakob Yati menulis: "Lebih baik tengok isu lain macam sillabus murid, kenaikan harga makanan di kantin, aset-aset di kelas iaitu kipas, meja, kerusi, projektor.

"Perkongsian maklumat pembelajaran di kelas terutama untuk murid tahap satu yang mana ibu bapa boleh join monitor. Akses ke sekolah terutama di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak."

Berpendapat sama, Yuslinda Yusof berkata: "Dari ubah waktu sekolah tu lebih afdal KPM semak balik sistem silibus pembelajaran murid untuk Tahap 1, Tahap 2 di sekolah rendah dan sekolah menengah. Masalah beg berat dan prasarana sekolah dibaikpulih."

Anida Arifin menambah: Sebagai pesara guru, saya rasa waktu persekolahan sekarang dah sesuai. Perlu dilihat silibus mata pelajaran dan waktu pembelajaran.Ibu bapa perlu pandai urus masa.Banyak perkara perlu dilihat terutama sekolah dua sesi dan yang ada sekolah agama terutama di negeri Johor.

Kata Damia Azhari: "Sudah-sudahlah. Elok dah sekolah mula pukul 7.30 pagi. Kalau mula pukul 8 pagi, pukul berapa pula budak-budak nak balik? Mereka nak pergi KAFA lagi. Jangan ubah-ubah lagi."

Tulis Khairi Samsul Bahri: "Datang jam 7 pagi pun sama je ramai lambat apatah lagi jam 8 pagi. Boleh cuba seminggu dulu, jika baik teruskan. Jika tak baik kembalikan jam 7 pagi balik. Pihak KPM boleh pilih sekolah tertentu untuk dijadikan kajian. Pilih sekolah dalam bandar dan luar bandar sebagai sampel kajian. Lihat hasil kajian. Usah buat terburu-buru. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram