Sesi sekolah 8 pagi tidak rumit tapi wujud masa berkualiti antara ibu bapa dan anak


  • Massa
  • Sabtu, 04 Feb 2023

Keselamatan diri adalah faktor keutamaan jika waktu persekolahan bermula pukul 8 pagi.

SARANAN kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menukar sesi persekolahan di Semenanjung bermula pukul 8 pagi di Semenanjung masih lantang disuarakan golongan tenaga pengajar atas sebab-sebab tertentu.

Antara yang kerap menyuarakan isu itu adalah Dr Anuar Ahmad yang merasakan keperluan untuk KPM mengambil langkah berani dengan melaksanakan cadangan tersebut.

Pakar Pendidikan dari Pusat Kajian dan Kesejahteraan, Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, sekiranya idea itu dilaksanakan, ibu bapa akan mempunyai lebih banyak masa berkualiti bersama anak-anak pada awal pagi.

Jelasnya, apabila waktu sekolah bermula pukul 8 pagi, anak-anak juga mempunyai lebih masa untuk bangun awal pagi, mandi dan membuat persiapan diri, solat Subuh berjemaah bersama ibu bapa serta bersarapan pagi bersama keluarga sebelum ke sekolah.

"Amalan sekarang, apabila sekolah bermula jam 7.30 pagi, ada ibu bapa yang terpaksa solat Subuh dalam perjalanan kerana terpaksa keluar rumah sebelum masuk waktu solat Subuh. Ada ibu bapa dan anak-anak yang sehingga terlepas solat Subuh kerana berada di dalam perjalanan," katanya kepada Majoriti.

Bagi kanak-kanak pula, katanya, keselamatan diri adalah faktor keutamaan yang mana jika waktu persekolahan bermula pukul 8 pagi, mereka tidak lagi perlu berjalan bersendirian di dalam gelap awal pagi seperti sekarang.

"Amalan sekarang, ada anak-anak yang berjalan kaki ke sekolah atau menunggu bas sekolah seawal jam 6.00 pagi.

"Selain itu, bagi anak-anak yang tiba lebih awal ke sekolah, mereka dapat membuat persiapan awal, mengulangkaji dan bermain dengan rakan-rakan. Mereka lebih bersedia sebelum pembelajaran bermula," katanya.

Laksana idea bermula di sekolah satu sesi

file7op4lj01d92n056ige2

Anak-anak mempunyai lebih masa untuk melakukan persiapan diri jika sesi persekolahan bermula 8 pagi.

Mengulas mengenai sekolah yang mempunyai dua sesi, Anuar berkata, data menunjukkan bahawa dua pertiga jumlah sekolah di negara ini berstatus satu sesi manakala satu pertiga lagi merupakan dua sesi.

Tambahnya, amalan sekolah bermula pukul 8 pagi boleh dimulakan di sekolah satu sesi terlebih dahulu, manakala sekolah yang mempunyai dua sesi boleh kekal sebagaimana waktu sekarang.

Selain itu, katanya, jika negara ini berhasrat menjadikan sekolah dua sesi bermula pukul 8 pagi, usaha untuk mengurangkan silibus atau bilangan mata pelajaran juga boleh dilakukan Kementerian Pendidikan (KPM) seperti yang dicadangkan oleh ramai pihak.

"Misalnya, menggabungkan pendidikan Islam dengan KAFA. Tidak ada keperluan menambah masa sesi petang sehingga sesi sekolah petang tamat lebih lewat daripada sekarang," jelasnya.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan, Anuar menyarankan kerajaan supaya mempunyai rasa belas kasihan dan empati terhadap keadaan guru-guru, ibu bapa dan anak-anak yang kebanyakannya terpaksa bangun seawal pukul 4.30 pagi.

Di kawasan bandar, katanya, mereka terpaksa meredah kesesakan seawal pukul 6 pagi untuk ke sekolah.

Sementara itu di kawasan pedalaman, jelasnya, terdapat murid-murid yang terpaksa bersusah-payah untuk menuju ke sekolah tatkala cuaca masih gelap, termasuk melalui jalan becak dan berlumpur, meredah denai kecil dan berperahu.

Untuk rekod, sesi persekolahan ketika ini bermula pukul 7.30 pagi.

Tidak rumitkan keadaan

file7oebs0micqx26erxhlt

Murid-murid juga sempat bersarapan pagi bersama keluarga sebelum ke sekolah jika sesi persekolahan dilaksana pukul 8 pagi.

Pada masa sama, Anuar menafikan cadangan sesi persekolahan bermula pukul 8 pagi akan merumitkan keadaan, sebaliknya ibu bapa boleh mengekalkan rutin harian mereka seperti biasa.

Malah, katanya, cadangan ini memberikan guru-guru lebih masa di awal pagi serta dapat membuat persiapan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik.

"Hampir semua sekolah antarabangsa di negara ini mengamalkan sistem sekolah bermula jam 8 pagi. Begitu juga dengan sebahagian besar sekolah swasta dan sekolah persendirian.

"Malah, ada sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kerajaan Negeri yang telah lama mengamalkan sistem sekolah bermula jam 8 pagi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram