SELEPAS lebih 40 tahun, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menutup tirai karier politiknya dan tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, yang disandangnya sejak 1980-an.
Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru yang berusia 73 tahun itu berkata, ketika ini adalah masa terbaik untuknya bersara daripada politik.
"Saya rasa ini masa yang sesuai untuk saya kerana saya sudah berusia 70-an dan ada pemimpin masa depan yang baik dalam kepimpinan parti bahagian dan pusat.
"Pemimpin masa depan harus diberi tanggungjawab sekarang untuk memulakan persediaan Umno bagi kedua-dua pilihan raya negeri Johor dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas Umno Johor yang dipengerusikan oleh Pengerusi Baharunya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Johor Bahru, Johor pada Sabtu.
Shahrir berkata, keputusannya untuk bersara tidak dipengaruhi oleh pembebasannya daripada pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi pada Januari lalu.
"Saya masih belum mendapat pencerahan dan telah membuat laporan polis mengenai pendakwaan terhadap saya," katanya.
Ketika ditanya apa yang akan dilakukannya pada masa depan, Shahrir berkata, beliau tidak mempunyai sebarang perancangan tetapi menantikan persaraannya.
Shahrir memenangi kerusi Ahli Parlimen Johor Bahru pada Pilihan Raya Umum 1978.
Namun, beliau digantung tugas oleh Umno pada 1988 dan beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru, sekali gus memaksa Pilihan Raya Kecil diadakan.
Beliau memenangi kerusi itu sebagai calon bebas dan mengekalkan kerusi itu sehingga PRU14, yang mana beliau tewas di tangan Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, Shahrir mengumumkan persaraannya semasa mesyuarat khas yang berlangsung kira-kira dua jam itu.
"Dalam pertemuan itu, Shahrir mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan ketua bahagiannya. Kami di Umno Johor mengucapkan terima kasih dan menghargai sumbangan beliau kepada parti," tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,