Biar mahkamah tentukan nasib Zahid — Anwar


  • Primer
  • Rabu, 01 Feb 2023

Anwar Ibrahim menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan nasib kes pertuduhan Ahmad Zahid Hamidi. — Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mahkamah berperanan sebagai badan bebas susulan kritikan berterusan yang diterima terhadap pelantikan presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Kabinet.

Timbalan Perdana Menteri itu berdepan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dalam kes rasuah melibatkan Yayasan Akalbudi (YAB) yang kini di peringkat pembelaan.

Dalam temu bual yang dijalankan bersama Bloomberg pada Selasa, Anwar tampil membela Ahmad Zahid, dengan menyatakan bahawa beliau kini sedang disiasat dan didakwa.

“Saya menyatakan dengan sangat jelas bahawa mahkamah adalah bebas dan saya tidak fikir saya harus memprejudikan kes itu.

"Tetapi ia tidak sepatutnya berkait rapat politik semata-mata. Mengapa merujuk kepadanya secara peribadi sedangkan saya telah mengatakan bahawa sistem itu korup.

"Terdapat banyak pemimpin politik lain yang telah menyalahgunakan kedudukan mereka sebagai bekas perdana menteri dan bekas menteri kewangan yang melibatkan ratusan dan berjuta-juta dolar," katanya sambil menambah bahawa beliau tidak akan membincangkan kes Ahmad Zahid.

Anwar menambah, proses mahkamah perlu bebas dalam membuat keputusan dan Ahmad Zahid mesti diberi peluang yang adil untuk diadili oleh mahkamah supaya tidak berat sebelah.

Ketika ditanya mengenai kehilangan timbalannya jika Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, didapati bersalah dan dihantar ke penjara, Anwar berkata, sudah tiba masanya untuk beralih daripada topik itu.

"Kita perlu bekerja dari hari pertama untuk memastikan sistem yang kita ada mempunyai tadbir urus yang baik dan ia bebas daripada pemimpin yang korup dan untuk berlaku adil, mereka telah mematuhi peraturan itu sekarang.

"Tiada satu pun bukti yang saya temui dalam parti saya berkenaan pihak yang mahu mensia-siakan kontrak atau projek dijalankan jadi saya tiada masalah dengan perkara itu. Orang ramai harus menilai saya sejak dari dua bulan lepas," katanya.

Ketika ditanya mengenai 100 hari beliau memegang jawatan, Anwar berkata, sejak hari pertama pesanan berhubung tiada lagi rasuah, tiada lagi rundingan tender dan tiada lagi penyalahgunaan kuasa, ia masih kekal konsisten hingga ke hari ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram