MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dikhabarkan bakal bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada pemilihan parti pada Mac ini.
Menyifatkan Umno sebagai sebuah parti yang berpengalaman, barisan pemimpinnya juga dianggap matang dalam menempuh jatuh bangun politik.
Beliau dengan rendah diri menawarkan untuk bertanding jawatan MKT Umno bagi menyumbang khidmat kepada parti tersebut.
Dalam pada itu, perkongsian dimuat naik Tengku Zafrul di laman Facebook rasminya pada Jumaat menguatkan lagi stigma berkaitan perwakilannya bersama Umno menjelang pemilihan parti itu nanti.
'Dalam Dewan Rakyat ‘bergasak’, tetapi di luar ibarat adik-beradik.'
Demikian merupakan antara ciapan beliau ketika terserempak dengan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim serta Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden di dalam pesawat penerbangan ke Alor Setar, Kedah.
“Nak mai Alor Staq, serempak YB Arau dan YB Alor Staq masa ‘flight’. Biasanya la geng Parlimen ni, dalam dewan ‘bergasak’ bagai nak rak, tapi kat luaq (luar) lagu (macam) adik-beradik.
“Saya len (lain) sikit, dalam dewan ka luaq ka sempoi ja, dengan semua orang saya baik,” katanya yang menggunakan dialek Utara pada hantaran tersebut.
Berseloroh dalam menyampaikan pesanan secara terbuka, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terbawa-bawa isu politik dalam hubungan persahabatan.
“Jangan hangpa lak gaduh politik dengan member sampai tak tegur 40 hari,” ujarnya.
Sementara itu, beberapa nama pemimpin Umno yang sebelum ini diramal mahu merebut jawatan utama parti dijangka tidak dapat bertanding pada pemilihan kali ini susulan isu tindakan disiplin parti, pemecatan dan penggantungan yang dihadapi.
Selain bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang dipecat keahliannya, turut dijangka tidak dapat mencalonkan diri bertanding adalah bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa, bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta bekas Ahli MKT, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,