KJ hanya ada satu pilihan jika mahu jadi PM — Penganalisis


  • Massa
  • Selasa, 31 Jan 2023

Khairy tidak mempunyai pilihan lain selain Umno jika mahu menjadi Perdana Menteri.

WALAUPUN sudah dipecat Umno, bekas ketua pemuda parti itu, Khairy Jamaluddin menyatakan keinginannya untuk menjadi Perdana Menteri masih belum berkubur.

Namun, Khairy yang dipecat partinya pada Jumaat lalu mengakui tidak pasti bagaimana cita-citanya itu boleh dicapai.

Penganalisis politik, Prof Dr Rusdi Omar berkata, tiada pilihan lain untuk Khairy menjadi Perdana Menteri selain daripada bersama dengan Umno.

"Umno sebenarnya rugi bila melepaskan Khairy. Untuk sementara waktu, kedua-dua pihak perlu mengambil masa yang ada untuk cool down seketika.

"Kalau saya jadi penasihat Khairy, saya akan minta dia buat rayuan untuk masuk balik Umno apatah lagi presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah berumur dan Khairy mempunyai masa yang cukup untuk memegang tampuk kepimpinan," katanya kepada Majoriti.

Prof-Madya-Dr-Rusdi-Omar

Prof Dr Rusdi Omar

Menurut Rusdi, Khairy perlu bersama Umno kerana dia sudah mempunyai sokongan akar umbi yang kuat dan perkara itu sukar diraih jika bersama parti lain.

Jelasnya, bekas Menteri Kesihatan itu hanya perlu bersabar sahaja dan perlu akur pada kepimpinan tertinggi Umno buat masa ini sebelum melakukan sebarang rejuvenasi.

"Lagipun Khairy memang mempunyai pengaruh tersendiri. Buktinya dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), dia dapat meraih sokongan besar pengundi di Sungai Buloh walaupun dalam masa singkat.

"Jika dia bersama dengan parti lain, belum tentu lagi pengaruh yang akan dimilikinya sama kuat seperti dia bersama Umno," katanya.

Apa yang dilakukan Khairy kata Rusdi, hanya melambatkan proses untuknya mencapai cita-cita memegang tampuk kepimpinan dan berkemungkinan akan jadi seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Anwar mengambil masa lebih 20 tahun untuk menjadi Perdana Menteri dan jika Khairy tidak kisah untuk menunggu, bolehlah dia ikut laluan selain bersama Umno," katanya.

Malaysia former Prime Minister Mahathir Mohamad waves after a press conference at his office of Perdana Foundation in Putrajaya, Malaysia, on Monday, May 18, 2020. Mahathir slammed the government for using the pandemic as an excuse to block parliament from sitting. The king in his speech urged lawmakers not to stir up another political crisis but to focus on the people's welfare amid the virus outbreak. (AP Photo/Vincent Thian)

Dr Mahathir antara pemimpin yang berjaya ke depan walaupun dipecat Umno.

Dalam pada itu, Rusdi juga mengakui bahawa Umno masih lagi sebuah parti yang kuat cuma ketika ini berlaku pergolakan yang membuatkan parti itu terumbang-ambing.

Tambahnya, pemecatan serta penggantungan adalah perkara biasa dalam parti politik dan Khairy patut 'move on' dengan perkara itu dan menjadikan apa yang berlaku sebagai titik tolak baharu dalam karier politiknya.

"Sebelum ini pun ramai pemimpin utama negara yang dibuang Umno seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Anwar.

"Tetapi mereka yang berdepan situasi ini juga lebih ke depan dalam karier politik masing-masing," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram