SELEPAS dipecat Umno, nama Khairy Jamaluddin terus menjadi tumpuan dan ramai yang mula membuat andaian berkenaan dengan hala tuju politik bekas Ketua Pemuda itu.
Malah, ada yang membuat andaian bahawa Khairy akan memilih untuk bersama dengan parti-parti politik lain untuk meneruskan kerjayanya.
Namun, ada juga yang membuat andaian bahawa bekas Ketua Pemuda Umno itu akan kembali semula ke Umno apatah lagi dia mempunyai sokongan yang tinggi berbanding ke parti lain.
Selain itu, ada juga kemungkinan yang mengatakan bahawa Khairy boleh membuka sebuah parti baharu dan mula membuat gabungan dengan mana-mana parti politik yang dirasakan membawa kelebihan.
Parti baharu yang dibuat seorang ahli parti politik lain bukanlah sesuatu yang baharu dalam negara.
Berikut Majoriti senaraikan parti politik yang dicipta dari ahli buangan parti politik lain:
Syed Saddiq menjadi pengasas kepada Muda.
Ikatan Demokratik Malaysia (Muda)
Pada 28 Mei 2020, Syed Saddiq antara ahli Bersatu yang telah digugurkan keahlian dan pada 24 Ogos tahun sama, dia menyatakan mahu menubuhkan parti baru yang tidak berpaksikan kaum dan untuk golongan muda.
Sebelum itu, Syed Saddiq merupakan ketua kepada Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Namun, pada 7 Januari 2021, pendaftaran parti tersebut ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Sehinggalah pada hujung Disember 2021, parti ini akhirnya berjaya didaftarkan sebagai parti politik rasmi dan berjaya menjadi salah satu parti utama Malaysia.
Mahathir menjadi pemimpin yang mengasaskan Pejuang.
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)
Pejuang ditubuhkan selepas bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad digugurkan keahlian daripada Bersatu.
Pada 12 Jun, Mahathir menyatakan secara sinis bahawa beliau akan menubuhkan parti baharu bernama Parti Apa Aku Dapat (AAD) ekoran perpecahan dalam kalangan ahli PPBM.
Seperti Muda, Pejuang juga berdepan masalah pendaftaran kerana nama parti itu diumumkan pada 19 Ogos 2020 namun ditolak RoS.
Tindakan ROS yang seolah-olah bertindak lewat dalam pendaftaran Pejuang menyebabkan mereka memfailkan tindakan mahkamah.
Namun, Pejuang didaftarkan sepenuhnya secara rasmi sebagai parti politik pada 8 Julai 2021.
Muhyiddin menjadi individu yang meneruskan perjuangan Bersatu sejak awal penubuhannya.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
Bersatu merupakan sebuah parti politik Malaysia yang lahir selepas pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta penggantungan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal daripada Umno pada 24 Jun 2016.
Muhyiddin kemudian menubuhkan Bersatu kepada Mukhriz. Borang permohonan untuk mendaftarkan Bersatu pada 9 Ogos 2016 sebelum diluluskan ROS pada 9 September 2016.
Bersatu dibubarkan secara sementara pada 5 April 2018. Walau bagaimanapun pada 10 Mac 2018, Pengerusi Bersatu, Mahathir telah membuat kenyataan berikutan ancaman berulang-kali yang dikeluarkan oleh ROS untuk membubarkan parti itu.
Selepas Pakatan Harapan memenangi PRU 2018, pembubaran Bersatu telah ditarik balik dan secara rasminya menjadi parti komponen Pakatan Harapan semula. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram