Bekas MB Johor sah bertanding Naib Presiden Umno


  • Politik
  • Sabtu, 04 Feb 2023

Hasni berkata, persaingan merebut jawatan Naib Presiden merupakan perkembangan baik untuk Umno.

BEKAS Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad mengesahkan bahawa beliau akan bertanding jawatan Naib Presiden Umno ketika pemilihan parti.

Justeru, Ahli Majlis Tertinggi Umno itu akan meletakkan namanya sebagai calon bagi salah satu jawatan Naib Presiden.

"Saya menawarkan diri sebagai calon kerana ia satu-satunya jawatan yang boleh dipertandingkan pada masa ini. Saya percaya, ramai yang akan bertanding jawatan itu termasuk penyandang seperti Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Dengan berbekalkan semangat ingin berbakti kepada Umno, saya turut bertanding," katanya.

Hasni berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas Umo Johor yang dipengerusikan oleh Pengerusi Negeri, Mohamed Khaled di pejabatnya di Johor Bahru, Johor pada Sabtu.

Ketika diminta mengulas mengenai cabaran untuk merebut jawatan itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut itu menambah, ia merupakan perkembangan baik untuk parti.

"Meskipun ada segelintir pihak mengeluarkan kenyataan negatif terhadap Umno sejak akhir-akhir ini, saya lihat ramai pemimpin tampil menawarkan diri sebagai calon menunjukkan petanda positif.

"Ini membuktikan bahawa pemimpin yang kita ada ketika ini tidak meninggalkan Umno kerana mereka mempunyai keyakinan bahawa parti itu masih boleh memainkan peranan besar demi masa depan negara," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram