SELEPAS Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada Khamis lalu, rakyat kini masih berteka-teki tentang barisan Kabinet yang bakal ditubuhkan tidak lama lagi.
Jawatan yang paling menjadi tumpuan semestinya Timbalan Perdana Menteri.
Sebelum ini, Anwar memberi jaminan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diwujudkan dalam Kabinet melibatkan kalangan wakil komponen kerajaan perpaduan.
Anwar berkata, ia akan diisi oleh wakil masing-masing daripada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Jeniri Amir
Tampil memberi pendapat, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, wakil BN paling layak dan sesuai memikul tangggungjawab berat sebagai Timbalan Perdana Menteri, tidak lain dan tidak bukan adalah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Penganalisis politik itu berkata, Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat bukan sahaja berpengalaman sebagai Menteri Besar, malah beliau berpengalaman dalam sektor swasta.
Tok Mat ketika sesi ramah mesra bersama kumpulan konvoi motosikal pada 2019.
Bukan itu sahaja, katanya, Tok Mat juga mempunyai kedudukan paling kanan dalam parti selepas Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Lagipun, beliau dilihat sebagai sederhana dan memiliki kelayakan, kemampuan dan rasional untuk diterima oleh semua orang," katanya kepada Majoriti.
Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turut menyokong sekiranya Tok Mat diketengahkan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri yang disifatkannya mempunyai ketokohan untuk dilantik ke jawatan berkenaan.
Mengulas lanjut, Jeniri Amir mencadangkan dua nama daripada GPS yang dilihat layak menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Wakil pertama disebut-sebut adalah Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang mempunyai pengalaman luas dalam Kabinet serta mempunyai prestasi cemerlang.
Alexander melambai tangan kepada media sebaik keluar dari Pintu Dua Istana Negara pada Rabu lalu. — Bernama
Selain itu, Naib Presiden Kanan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof adalah wakil seterusnya, yang dilihat layak memegang jawatan tersebut.
Pencapaian Fadillah turut disifatkan cemerlang ketika memegang jawatan Menteri Kanan Kerja Raya sebelum ini.
"Ini berikutan beliau juga dilihat cemerlang ketika menjadi menteri sebelum ini," ujarnya.
Lebih jawatan kepada pemimpin Sabah dan Sarawak
Pada masa sama, Jeniri Amir berkata, pemimpin dari Sabah dan Sarawak juga perlu diberi peluang dan tanggungjawab sesuai dengan jawatan mereka.
Malah, mereka juga disaran untuk diberi portfolio kanan termasuk dalam Kementerian Luar Bandar dan Wilayah.
"Mereka juga perlu diberi jawatan berkaitan hal ehwal Sabah Sarawak tetapi bukan Timbalan Menteri Sabah Sarawak.
"Ia penting untuk tangani jurang dan sosio ekonomi. Mereka adalah menteri untuk Malaysia, jadi harus bersikap adil dan inklusif kepada semua kaum, agama, wilayah dan agenda.
"Ini juga dapat memastikan Timbalan Perdana Menteri melengkapi dan mendukung peranan yang diletakkan di atas bahu Kabinet Perdana Menteri," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram