TUJUAN utama Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) diadakan adalah untuk menyelesaikan masalah kerajaan yang tidak stabil daripada segi politik.
Tetapi, tiada gabungan parti politik yang mendapat majoriti untuk membentu kerajaan sekali gus mengheret kepada beberapa siri perbincangan dalam kalangan parti politik.
Akhirnya, Mesyuarat Khas Raja-Raja diadakan untuk menyelesaikan isu pemilihan Perdana Menteri serta pembentukan kerajaan pasca PRU15.
Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10 dan kerajaan perpaduan dibentuk. Namun, adakah usaha itu dapat menstabilkan politik negara?
Apatah lagi menerusi kerajaan perpaduan ini juga menyaksikan buat pertama kali, Umno dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bekerjasama dengan musuh ketat politik mereka, DAP di bawah satu bumbung.
Prof Dr. Rusdi Omar yakin dengan kepimpinan Anwar.
Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, perkara itu tidak akan menjadi masalah dan Anwar perlu memainkan peranan penting selaku Perdana Menteri.
"Umno memang tak pernah bekerjasama dengan DAP tetapi sudah bekerja dengan parti Cina lain iaitu MCA dan Gerakan.
"Situasi itu sama sahaja bila melibatkan parti DAP. Cuma macam Anwar kata, Perlembagaan menjadi keutamaan nombor satu.
"Jika perkara itu tidak diganggu, semua parti politik dalam negara pasti boleh bersatu. Saya tak kata kerajaan perpaduan ini sempurna, yang penting semua parti kena hormat satu sama lain," katanya kepada Majoriti.
Menurut Rusdi, semua kepimpinan juga perlu meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai keutamaan.
Jelasnya, tidak akan timbul kerisauan pada rakyat jika kerajaan kini boleh menjaga kepentingan kaum utama dalam negara.
Anwar (kiri) ketika hadir bertugas buat pertama kali sebagai Perdana Menteri ke 10 sambil ditemani Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Anwar tahu sepak terajang politik
Pengalaman Anwar selama 30 tahun dalam dunia politik kata Rusdi, sudah cukup mematangkannya untuk tahu segala sepak terajang dalam pentadbiran negara.
Jelasnya, Anwar juga sudah berada 11 tahun dalam penjara dan setakat ini, tiada lagi pemimpin yang perlu lalu liku politik sepertinya.
"Dia ada banyak pengalaman. Tambahan pula kita boleh nampak reaksi negara luar terhadap pelantikan Anwar yang membawa perspektif positif pada negara.
"Ini semua adalah petanda awal bahawa kerajaan yang dibentuk Anwar bakal menjadi kerajaan seperti pada era 90an yang mana negara kita dikenali sebagai Asian Tigers," katanya.
Tambah Rusdi, apa yang penting sekarang ialah supaya pemimpin politik mencari titik pertemuan untuk memberi yang terbaik kepada negara.
"Pemimpin politik kena move forward. Cukup-cukuplah berpolitik. Dah tiba masa unutk memberi tumpuan memacu negara ke hadapan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram