PERIKATAN Nasional (PN) akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen yang diterajui kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi PN itu berkata, PN juga akan terus membawa suara rakyat selaras dengan Demokrasi Berparlimen.
"Bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil," katanya menerusi hantaran ringkas di laman Facebook.
Pada masa sama, Muhyiddin turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada Khamis.
Sebelum ini, Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar susulan dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.
Anwar, 75, dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 oleh Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selepas lima hari kebuntuan politik berhubung Parlimen yang tergantung susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November.
Anwar memulakan tugas secara rasmi sebagai Perdana Menteri Malaysia pada Jumaat dan selepas selesai urusan di pejabat, beliau turut mengadakan sidang media dan menyentuh beberapa perkara berhubung pentadbiran negara.
PN tidak sertai PH
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, PN kekal dengan pendirian untuk tidak menyertai kerajaan yang diterajui PH, meskipun selepas ditawarkan Anwar untuk menyertai kerajaan pimpinan beliau.
Muhyiddin berkata, gabungan itu mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas tawaran berkenaan, namun menolaknya atas semangat menyuburkan demokrasi dan melaksanakan peranan semak dan imbang yang berkesan dalam Parlimen.
"PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen, serta memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah selaras dengan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil.
"Demi untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, PN bersedia untuk merintis bentuk-bentuk kerjasama yang lain dengan kerajaan dalam ruang lingkup hubungan antara kerajaan dan pembangkang," katanya dalam kenyataan berasingan.
Dalam sidang media sulung Perdana Menteri pada Khamis, Anwar menegaskan, kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan penyertaan PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) setakat ini, akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.
Bercakap dalam sidang media pada hari pertamanya memasuki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra di Putrajaya pada Jumaat pagi pula, Anwar berkata, kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Anwar berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram