GAJI anggota Kabinet bakal dikurangkan, manakala saiz Kabinet juga akan diperkecilkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, Perdana Menteri itu berkata, perkara yang akan diusulkan tersebut perlu dipersetujui melalui perbincangan terlebih dahulu.
"Saiz Kabinet tentunya akan diperkecil dan saya minta supaya ahli Kabinet baharu setuju agar gaji dikurangkan.
"Tetapi semua ini dalam proses perbincangan dan persiapannya sesegera mungkin," kata Anwar pada sidang medianya di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya, pada Jumaat.
Jelas Anwar, beliau akan merujuk kepada parti-parti lain untuk mengusulkan nama bagi pembentukan Kabinet.
"Kita kena faham bahawa Kerajaan Perpaduan bermakna seorang Perdana Menteri harus rujuk kepada parti-parti gabungan ini.
"Parti masing-masing pula akan mengusulkan nama (untuk pembentukan Kabinet)," katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tambun itu tiba di Bangunan Perdana Putra pada pukul 9.52 pagi bagi memulakan tugas sebagai Perdana Menteri ke-10 secara rasmi.
Beliau selepas itu menuju ke pejabat Perdana Menteri untuk menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas. — Astro Awani
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram