KESTABILAN ekonomi menjadi harapan utama rakyat selepas penggabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan perpaduan baru-baru ini.
Menerusi tinjauan Majoriti di media sosial, rata-rata netizen menerima keputusan kedua-dua parti tersebut bergabung, namun hak rakyat harus diutamakan.
Antara yang dituntut oleh netizen melibatkan kestabilan ekonomi dan kepentingan rakyat selepas mereka menjalankan tanggungjawab membuang undi memilih PH dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
PH dan BN mencapai kata sepakat untuk bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan.
Salah seorang netizen, Suraya Adli berkata, kos sara hidup yang tinggi menyebabkan rakyat hidup dalam keadaan tertekan.
"Selepas pergabungan kedua-dua parti ini, kita mahukan mereka (parti) menunaikan tanggungjawab membalas kepercayaan rakyat dengan mengurangkan kos sara hidup.
"Saya percaya isu kestabilan ekonomi dan sara hidup menjadi masalah utama ketika ini dan ia harus diselesaikan segera," katanya.
Ekonomi negara melonjak naik selepas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Sementara itu, Hasmat Ali berkata, rakyat telah menunaikan tanggungjawab dan tiba masanya kedua-dua parti menjalankan kewajipan menjaga rakyat.
"Kita tidak mahu lagi kemelut politik melanda yang menjejaskan kehidupan rakyat dan negara. Ia sangat merugikan.
"Kita belajar dari kesilapan dan bersama-sama membantu mengembalikan kegemilangan negara untuk kepentingan bersama," jelasnya.
Bencana alam dan wabak Covid-19 menjejaskan kehidupan rakyat.
Bagi Hazirah Azman, pada mulanya dia tidak bersetuju dengan penggabungan kedua-dua parti namun terpaksa akur dengan keputusan tersebut demi kestabilan ekonomi negara.
"Rakyat sudah terseksa sejak wabak Covid-19 melanda pada tahun 2019 termasuk bencana alam yang berlaku dan kita harus pandang ke depan untuk terus maju.
"Keputusan telah diumumkan dan tidak perlu lagi menoleh kebelakang. Harap rakyat dapat menarik nafas lega selepas ini," luahnya.
Rakyat juga mahu agama Islam dan bangsa Melayu terus dijaga selepas penggabungan PH dan BN.
Dalam pada itu, Kassim Abu Bakar berkata, penggabungan parti PH dan BN harus menjaga agama Islam, orang Melayu dan negara.
"Saya hanya mengharapkan agama Islam dan bangsa Melayu tidak menjadi bahan hinaan demi kemakmuran negara.
"Semoga dengan penggabungan ini, agama Islam terus dijaga dan ekonomi negara terus maju pada masa akan datang," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan gabungan tiga parti membabitkan PH, BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Khamis.
Pada masa sama, beliau turut mengumumkan sedang menunggu kesediaan Perikatan Nasional (PN) untuk bersama-sama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram