Pekerja swasta boleh pilih cuti pada Isnin atau ganti tarikh lain — KSM


  • Primer
  • Jumaat, 25 Nov 2022

KSM menggesa majikan untuk memenuhi pemberian hari cuti umum tambahan kepada pekerja masing-masing. — Gambar hiasan

MAJIKAN di sektor swasta dikehendaki berbincang dengan pekerja sama ada mahu memilih Isnin ini sebagai cuti umum atau menggantikannya dengan tarikh lain.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, sekiranya tiada penggantian, pekerja yang bekerja pada tarikh tersebut layak menerima kadar gaji bagi cuti umum.

"Kementerian menggesa majikan untuk memenuhi pemberian hari cuti umum tambahan berkenaan kepada pekerja masing-masing," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 28 November sebagai cuti umum sempena pembentukan Kerajaan Perpaduan Nasional dan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

Anwar berkata, cuti yang asalnya dicadang diberikan pada Jumaat terpaksa dianjak ke Isnin depan, untuk terus memberikan ruang kepada nilai ringgit dan Bursa Malaysia yang menunjukkan perkembangan positif.

Cuti berkenaan diisytiharkan di bawah Seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) yang juga merupakan cuti umum diperuntukkan kepada pekerja di sektor swasta menurut Seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram