ISTIADAT angkat sumpah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 selesai pada Khamis, sekali gus menamatkan kemelut politik yang melanda negara pada pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sehari selepas itu, Anwar menjelaskan bahawa, beliau akan mengusulkan saiz Kabinet supaya dikecilkan, manakala pembentukannya juga akan dibuat sesegera mungkin.
Kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sudah pasti membuat rakyat tertanya-tanya tentang Ahli Parlimen yang bakal mengisi ruang barisan Kabinet baharu.
Anuar Ahmad
Bercakap mengenai ruang dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr Anuar Ahmad berkata, negara ini sangat memerlukan seorang pemimpin pendidikan yang berani dan kuat semangat untuk melakukan reformasi pendidikan.
Tambah pakar pendidikan itu, pemimpin yang mempunyai visi dan misi jelas untuk melakukan perubahan tidak sekadar mengikut sahaja amalan pendidikan sekarang.
Oleh itu, katanya, ibu bapa dan murid-murid memerlukan seorang reformis pendidikan negara.
"Jika mahu menyelamatkan sistem pendidikan negara dan bersedia untuk letak hal politik di tepi, saya cadangkan buat masa ini calon terbaik untuk memimpin reformasi pendidikan dan dilantik sebagai Menteri Pendidikan adalah Dr Maszlee Malik," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada PRU15, Maszlee yang bertanding atas tiket PH tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasni Mohammad bagi kerusi Parlimen Simpang Renggam.
Maszlee pernah dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada tahun 2018 hingga 2020.
Ketika ini, satu inisiatif mengumpul tandatangan bagi menyokong Maszlee dilantik sebagai Ahli Dewan Negara, seterusnya diangkat sebagai Menteri Pendidikan sedang digerakkan.
Inisiatif tersebut digerakkan menerusi laman change.org.
Sektor pendidikan terjejas
Mengulas lanjut, Anuar Ahmad berkata, sektor pendidikan negara terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Jelasnya, guru-guru cuba sedaya upaya melakukan pemulihan pembelajaran, namun infra pengajaran tidak membantu.
Apatah lagi, katanya, sekolah yang mempunyai kemudahan daif semakin bertambah.
Kemudahan pembelajaran yang daif mengakibatkan kualiti pendidikan terus merosot. — Gambar hiasan
Ini katanya, mengakibatkan kualiti pendidikan terus merosot, berikutan kemudahan pembelajaran yang daif tidak membantu anak-anak belajar dengan baik.
"Bayangkan masih ada sekolah yang tidak mempunyai bekalan elektrik yang memuaskan, bangunan sekolah yang daif, bilik darjah masih dari kayu dan papan, meja dan kerusi murid-murid sudah rosak dan berulang kali dibaiki, papan hitam yang lusuh. Lantai dan siling kelas yang berlubang, kipas angin dan lampu yang tidak berfungsi.
"Sebagai ibu bapa, cuba anda bayangkan bagaimana anak-anak anda boleh belajar dengan selesa dan dapat fokus dalam proses pembelajaran jika kelas sesak murid, keadaan kelas yang panas, rimas dan bising?
"Guru-guru pula terpaksa mendahului urusan bukan pengajaran. Ada yang terpaksa 'digantikan' waktu mengajar oleh guru lain (sekadar menjaga kelas) kerana guru ada aktiviti di luar sekolah," katanya.
Keadaan daif sebuah sekolah di daerah Pitas, Sabah pada 2011.
Tambahnya, mustahil kualiti pendidikan negara ini akan berubah menjadi lebih baik jika keadaan ini berterusan.
"Sebab itu kita sebagai ibu bapa dan guru-guru patut bersatu dan bersuara: 'Enough is enough, reform segera pendidikan negara'," tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram