BUAT pertama kali dalam sejarah negara, tiada gabungan parti yang mendapat jumlah majoriti kerusi Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan dalam PRU15.
Disebabkan itu juga, kemelut pembentukan dan pemilihan Perdana Menteri ke 10 berlanjutan kira-kira enam hari sehinggalah keputusan dibuat hasil Mesyuarat Khas Raja-Raja di Istana Negara pada Khamis.
Anwar mengangkat tangan selepas dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya dilantik menjadi Perdana Menteri manakala partinya pula terdiri daripada gabungan parti-parti lain yang sebelum ini menjadi musuh ketat mereka dalam PRU.
Sebenarnya, sebelum pembentukan kerajaan terbaharu ini juga pernah ada parti politik yang bermusuhan akhirnya berpeluk erat demi agenda masing-masing.
Berikut Majoriti senaraikan parti politik yang sebelum ini saling bercakaran antara satu sama lain tetapi akhirnya bersalam erat demi agenda politik dan sebaliknya.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
PAS dan Umno
PAS dan Umno adalah dua parti politik terbesar Melayu yang ada dalam negara dan persengketaan mereka sudah berlarutan sejak sekian lama.
Namun, kedua-dua parti ini akhirnya berpeluk erat pada September 2019 dan bernaung di bawah Muafakat Nasional (MN).
Kerjasama kedua-duanya ini cukup digeruni parti lain. Namun pada Oktober lalu, Umno telah menarik sokongan terhadap PAS kerana parti itu menyokong Perikatan Nasional (PN).
Akhirnya MN terkubur sebelum PRU15 diadakan dan menyaksikan kedua-dua parti ini kembali menjadi seteru dalam dunia politik negara.
Bersatu pernah menjalin kerjasama dengan PKR yang menyaksikan kemenangan besar PH pada PRU 14.
PKR dan Bersatu
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pernah bekerjasama di bawah payung PH ketika PRU14 diadakan.
Penyatuan dua parti ini bersama DAP, Amanah, UPKO dan Muda adalah bertujuan untuk membebaskan Anwar dari penjara sekali gus mengangkatnya menjadi Perdana Menteri.
22 bulan bersama, akhirnya negara berdepan kemelut politik yang digelar 'Langkah Sheraton' yang mana beberapa ahli PKR membuat keputusan keluar parti dan menyertai Bersatu.
Bersatu kemudian bertindak meninggalkan PH yang memaksa Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sekali gus meranapkan kerajaan PH.
Tindakan Bersatu itu juga akhirnya membawa kepada penubuhan PN yang kemudian berjaya menjadi kerajaan sekali gus menjadi lawan kepada PH yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah.
Kesudahannya, PRU15 menyaksikan Bersatu gagal menjadi kerajaan manakala Anwar pula menerusi PH berjaya mencapai impian yang tertangguh selama 24 tahun untuk menjadi Perdana Menteri.
GPS sebelum ini mendakwa dilayan dengan buruk oleh DAP sewaktu parti itu berada dalam kerajaan selama 22 bulan.
GPS dan DAP
Pertelingkahan GPS dan DAP bermula ketika PH menjadi kerajaan dan sewaktu gabungan parti itu tumbang pada 2020.
Pemimpin GPS sebelum ini berulang kali mengatakan mereka tidak akan bekerjasama dengan PH, disebabkan kenyataan yang dilemparkan terhadap kerajaan Sarawak ketika gabungan itu mentadbir Putrajaya selepas PRU 2018.
Pada 2019, Lim Guan Eng yang pada ketika itu Menteri Kewangan dan Setiausaha Agung DAP mengatakan Sarawak akan muflis dalam masa tiga tahun sekiranya terus diperintah oleh GPS.
Kenyataan itu disokong oleh Pengerusi DAP Sarawak ketika itu, Chong Chieng Jen.
Namun, pertelingkahan itu akhirnya selesai selepas DAP menerusi pemimpinnya membuat permohonan maaf terhadap GPS baru-baru ini. Kini, kedua-dua parti itu bersama-sama membentuk kerajaan perpaduan di bawah Anwar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram