Lima harapan besar rakyat di bawah pimpinan Anwar Ibrahim


  • Politik
  • Sabtu, 26 Nov 2022

Anwar berdepan tugas berat bagi memastikan negara berada di landasan yang betul.

MENGGALAS tanggungjawab sebagai pemimpin bukan satu tugas yang mudah kerana pelbagai perkara perlu diambil kira sebelum membuat sebarang keputusan.

Rancangan dan pelaksanaan rapi perlu dilakukan bagi memastikan rakyat mampu hidup dalam keadaan yang lebih baik pada masa depan.

Pada masa sama, pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Khamis disifatkan mampu mengembalikan kestabilan ekonomi negara.

Rata-rata orang ramai menyambut baik pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Berikut Majoriti menyenaraikan lima harapan rakyat di bawah pimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri:

WhatsApp Image 2022-11-25 at 7.49.47 PM

Kos sara hidup

Perkara utama yang menjadi hasrat utama rakyat Malaysia melibatkan kos sara hidup. Sejak negara dilanda wabak Covid-19, ramai yang telah kehilangan kerja dan sumber pendapatan.

Keadaan menjadi lebih parah selepas negara dilanda bencana alam sehingga ramai yang kehilangan nyawa dan tempat tinggal.

Ditambah dengan drama politik sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 menambah beban kepada rakyat untuk menghadapi kemelut yang melanda.

Bagaimanapun, rata-rata menyifatkan pelantikan Anwar mampu menyelesaikan isu kos sara hidup memandangkan beliau seorang yang berpengalaman dan pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan sekitar tahun 1991 hingga 1998.

WhatsApp Image 2022-11-25 at 7.49.05 PM

Kestabilan ekonomi

Sejurus pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10, pasaran saham dan nilai ringgit melonjak naik.

Difahamkan, pasaran saham melonjak naik sejak beberapa hari lalu selepas berita mengenai pelantikan Anwar mula bertebaran dan ia dijangka meningkat sehingga Selasa depan.

Ia secara tidak langsung menunjukkan keyakinan pelabur terhadap beliau sebagai pemimpin negara.

Berbekalkan hubungan rapat Anwar dengan negara luar seperti di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Eropah, Arab, Turkiye dan Asia meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap beliau.

Rata-rata orang ramai memberi kepercayaan kepada Anwar untuk memastikan ekonomi negara kembali pulih seterusnya membasmi masalah kemiskinan, inflasi dan pengangguran.

WhatsApp Image 2022-11-25 at 7.51.17 PM

Pertahankan Perlembagaan

Rakyat mahukan Anwar mempertahankan perlembagaan termasuk menjaga hak keistimewaan kaum Melayu tanpa meminggirkan hak kaum lain.

Selain itu, rakyat berhasrat beliau mempertahankan bahasa Melayu, agama Islam dan kedudukan Raja-Raja Melayu di bawah pimpinan beliau.

Ia bukan satu tugas yang mudah memandangkan negara kita terdiri daripada berbilang kaum dan agama.

Maka tidak hairanlah, Anwar pada sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri di Sungai Long Golf and Country Club di Kajang pada Khamis menyatakan komitmen beliau untuk mempertahankan Perlembagaan.

WhatsApp Image 2022-11-25 at 7.48.30 PM

Kestabilan politik

Kemelut politik yang melanda negara sejak Langkah Sheraton berlaku pada Februari 2020 menyebabkan rakyat hidup dalam kesengsaraan sejak ia berlaku.

Langkah Sheraton merujuk kepada peristiwa perpindahan kem politik oleh ahli Parlimen dan parti politik sehingga menyebabkan kerajaan PH tumbang dan digantikan dengan Perikatan Nasional (PN).

Langkah Sheraton bermula apabila 11 ahli Parlimen dari PKR mengumumkan keluar parti dan membentuk blok bebas, selain keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk keluar dari gabungan PH.

Rakyat juga menjadikan media sosial untuk menyuarakan keresahan akibat kemelut politik dan mahukan kestabilan kerana bimbang ia akan berlanjutan.

Kemelut politik ini juga merugikan banyak pihak dan rakyat menjadi mangsa akibat sikap ahli politik berebut jawatan.

Menjadi tanggungjawab berat untuk Anwar memastikan kestabilan politik di negara ini tidak berpanjangan atau menjadi lebih buruk.

WhatsApp Image 2022-11-25 at 7.47.56 PM (1)

Keharmonian negara

Keharmonian menjadi tonggak utama dalam menjamin kemakmuran dan kemajuan negara.

Malaysia merupakan negara bertuah kerana pelbagai bangsa dan agama dapat hidup bersama tidak seperti negara lain.

Keharmonian hanya dapat dilakukan menerusi toleransi sesama kaum, bangsa dan agama yang pelbagai dengan saling memahami keunikan budaya masing-masing.

Rata-rata rakyat bersetuju bahawa kemajuan negara bergantung kepada keharmonian dan sikap bersatu padu penduduk di negara ini.

Rakyat juga mahu keharmonian negara terus dikekalkan dan ia pastinya akan menjadi tanggungjawab berat untuk Anwar mempertahankan perkara tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram