Selasa penentu BN bergabung dengan PN atau PH — Wee Ka Siong


  • Politik
  • Isnin, 21 Nov 2022

Wee (dua dari kiri) berkata, perbincangan tentang gabungan bersama PN atau PH akan diteruskan semasa mesyuarat pada Selasa.

MESYUARAT Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) sehingga petang Isnin, masih belum mencapai kata sepakat bagi menentukan kerjasama membentuk kerajaan Persekutuan.

Naib Pengerusi BN yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perbincangan akan diteruskan semasa satu lagi mesyuarat pada Selasa.

"Masih belum ada kata putus, kita akan buat keputusan bersama esok (Selasa)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat di Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di ibu negara pada Isnin.

Terdahulu, beberapa pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan BN mengadakan rundingan bagi membentuk kerajaan, memandangkan tiada pihak yang memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketika ditanya mengenai pendirian MCA sama ada mereka bersetuju untuk bergabung dengan PH atau Perikatan Nasional (PN), Wee berkata: "Kita melihat semua kemungkinan."

Sementara itu, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, BN masih meneliti mengenai kerjasama untuk membentuk kerajaan Persekutuan sama ada bersama PH atau PN.

Beliau berkata, MIC yang hanya mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu Tapah yang dimenangi Timbalannya, Datuk Seri M.Saravanan, akan bersetuju dengan sebarang keputusan anggota Dewan Tertinggi BN.

"Akuan bersumpah (SD) akan dibuat setelah mencapai keputusan muktamad, mungkin esok (Selasa)," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram