PAKATAN Harapan (PH) Pahang bersetuju menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) negeri bagi membentuk kerajaan negeri yang tergantung selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah semasa dihubungi.
"Ya, PH Pahang bersetuju untuk kerjasama dengan BN Pahang, tetapi kami menunggu keputusan rasmi daripada pimpinan (PH) pusat," katanya ringkas.
Kerajaan negeri Pahang tergantung selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti yang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.
Pada PRU15, BN memperoleh 16 kerusi manakala PH memperoleh lapan kerusi dengan enam daripadanya datang dari DAP, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 kerusi.
Terdapat 42 kerusi DUN di Pahang, namun proses pengundian bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman hanya akan diadakan pada 7 Dis ini ekoran kematian calon PN di situ Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian PRU15.
Terdahulu, PH dan BN Perak bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri dengan Datuk Seri Saarani Mohamad dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pukul 5.30 petang Isnin. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram