MCA kecewa Ahmad Zahid tangguh Mesyuarat Tertinggi BN, turut desak letak jawatan


  • Politik
  • Ahad, 20 Nov 2022

MCA kesal dengan tindakan Ahmad Zahid yang menangguhkan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam ini.

PARTI MCA menegaskan bahawa mereka telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, Ahmad Zahid juga harus meletakkan jawatan dengan terhormat supaya pemimpin baharu dapat mengambil alih pucuk pimpinan untuk menentukan hala tuju parti.

Sin Woon berkata, mereka juga terkejut dan kecewa dengan keputusan Ahmad Zahid menangguhkan Mesyuarat Dewan Tertinggi (BN) yang dijadualkan pada Ahad malam.

"Keadaan politik negara masih tidak stabil dan tidak menentu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Keperluan Mesyuarat Dewan Tertinggi adalah amat terdesak untuk membincangkan situasi politik terkini dan membuat keputusan BN sebagai satu blok," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Sin Woon, mereka mengambil pendirian yang tegas bahawa tiada mana-mana pihak yang berhak mewakili BN untuk berunding dengan mana-mana parti politik tanpa mandat daripada Dewan Tertinggi BN.

Tambahnya, pada masa yang sama, MCA berpendapat bahawa pemangku pengerusi Barisan Nasional perlulah memanggil Mesyuarat Dewan Tertinggi dengan kadar segera. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram