Makin panas, 20 Ahli Parlimen Umno didakwa sokong Muhyiddin jadi PM


  • Politik
  • Ahad, 20 Nov 2022

Seramai 20 Ahli Parlimen Umno didakwa menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri.

SERAMAI 20 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menang Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) didakwa menyatakan sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Menerusi laporan media dan media sosial, 20 daripada 30 Ahli Parlimen yang menang itu juga sudah sedia menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin sekali gus membentuk kerajaan persekutuan.

Terdapat juga dakwaan di media sosial yang mengatakan bahawa dua Ahli Parlimen BN akan menubuhkan parti bebas untuk bersama PN.

Terdahulu, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias menerusi kenyataannya mencadangkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Jalaluddin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata, dia berprinsip bahawa sebuah 'unity government' tanpa Pakatan Harapan (PH) perlu dibentuk unutk menerajui kerajaan pasca PRU15.

Dalam pada itu, terdapat juga warganet yang keliru sama ada kemenangan Ahli Parlimen dalam PRU15 akan terbubar jika dipecat atau bertindak keluar parti.

Namun, pemerhati politik, Dr Novandri Hasan Basri berkata, kerusi Parlimen yang dipegang ahli Dewan Rakyat tidak akan gugur jika dipecat oleh partinya.

"Kita perlu faham Perkara 49 (a) yang menyatakan seseorang Ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi ahli dewan menurut perkara ini hanya disebabkan oleh pembubaran atau pembatalan pendaftran parti politiknya.

"Kedua ialah pelepasan keanggotaan dari parti politiknya apabila dipilih sebagai Yang di-Pertua atau pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya," katanya.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Muhyiddin akan mengemukakan SD daripada Ahli Parlimen pada Isnin, bagi membuktikan bahawa gabungan itu mempunyai jumlah yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Muhyiddin berkata, dakwaan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN tidak pernah berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan penubuhan kerajaan bersama PN, tidak menghalang PN untuk membentuk kerajaan melalui sokongan daripada Ahli Parlimen.

"Kalau ada Ahli Parlimen yang membuat keputusan untuk menyokong saya, itu hak ahli Parlimen bersandarkan perlembagaan negara. Perlembagaan kata seseorang yang mahu menjadi perdana menteri mestilah mendapat kepercayaan daripada majoriti ahli Parlimen iaitu (sekurang-kurangnya) 112 kerusi," katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu, Shah Alam, Selangor pada Ahad malam.

Beliau juga menjelaskan bahawa Akta Anti Lompat Parti tidak menghalang mana-mana parti walaupun bukan daripada PN sendiri untuk menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

"Mereka tidak keluar daripada parti tetapi mereka secara individu sebagai Ahli Parlimen hatta daripada Bebas sekalipun boleh menyatakan sokongan kepada saya. Itu tidak menyalahi Akta Anti Lompat Parti," katanya.

Terdahulu, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti dan menamakan calon perdana menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang Isnin.

PRU15 pada Sabtu menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, PN (73), BN (30), GPS (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Parti Warisan (tiga) dan masing-masing satu kerusi untuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain dua calon Bebas yang menang.

Majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan adalah 112 kerusi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram