Saarani angkat sumpah MB Perak, ketuai kerajaan gabungan BN-PH


  • Politik
  • Isnin, 21 Nov 2022

Saarani ketika mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak pada Isnin.

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak pada Isnin.

Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak.

Terdahulu, dalam kenyataan bersama, BN dan Pakatan Harapan (PH) Perak bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negara, Tan Sri Anuar Zaini memaklumkan, PH dan BN sudah mempersembahkan nama seramai 33 Adun yang menyokong gabungan itu kepada Sultan Nazrin.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh 26 kerusi DUN, manakala PH pula menawan 24 kerusi dan sembilan kerusi dimenangi BN.

Kerajaan Negeri Perak sebelum ini dibentuk dengan gabungan tiga parti iaitu BN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS.

Dilahirkan pada 13 Mac 1961 di Kampung Raban, Lenggong, Saarani memulakan kerjaya sebagai guru pada 1982 setelah menamatkan pengajian Diploma Sains serta Pendidikan (Fizik dan Matematik) di Universiti Teknologi Malaysia.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian (Pengurusan Sumber Manusia) daripada Open University Malaysia (OUM) itu menyertai Umno pada 1989 dan menjadi Adun Lenggong dari 1999 hingga 2004.

Atas dedikasi dan komitmen sebagai wakil rakyat, beliau berjaya menjadikan DUN Kota Tampan sebagai kubu kuat Umno sejak mula memenanginya pada 2004.

Ketika PH memerintah Perak selepas PRU14, Saarani dilantik sebagai Ketua Pembangkang DUN Perak, namun 'status' itu tidak lama setelah PH tumbang dan menyaksikan PN terdiri daripada Adun Umno, Bersatu dan PAS mengambil alih pemerintahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram