3,417 kesalahan PRU15 di seluruh negara, Kedah catat negeri tertinggi


  • 112
  • Isnin, 21 Nov 2022

Tujuh kertas siasatan dibuka dan satu tangkapan dibuat di Kedah melibatkan enam lelaki bersabit kertas siasatan bertarikh 19 November.

SEBANYAK 3,417 laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula dari 4 November hingga pasca pilihan raya pada Ahad.

Daripada jumlah itu, Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, Kedah mencatatkan jumlah laporan kesalahan tertinggi iaitu sebanyak 447, diikuti 433 laporan masing-masing di Selangor dan Pahang, Kelantan (429); Perak (334) serta Johor (299).

Menurutnya, sebanyak 228 laporan diterima di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur (218); Perlis (210); Sabah (116); Sarawak (87); Pulau Pinang (83); Terengganu (61) dan Melaka (39).

"Sebanyak 508 kertas siasatan telah dibuka, 149 kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, enam telah dituduh dan empat individu dijatuhi hukuman," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Hazani yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman berkata, pada Ahad, tujuh kertas siasatan telah dibuka dan satu tangkapan telah dibuat di Kedah melibatkan enam lelaki bersabit kertas siasatan bertarikh 19 November.

"Enam individu tersebut terdiri daripada 300 penyokong beberapa parti yang didapati berkumpul dan mengibarkan bendera parti di Dataran Zero, Pekan Lama di Sungai Petani pada pukul 2.15 pagi iaitu selepas waktu berkempen tamat.

"Tangkapan tersebut dibuat mengikut Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram