BN, PH bergabung di Perak, Saarani angkat sumpah 5.30 petang


  • Primer
  • Isnin, 21 Nov 2022

Saarani telah menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan menyembah maklum persetujuan kedua-dua gabungan mengenai perkara itu.

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dijadualkan akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak pukul 5.30 petang Isnin.

Perkara itu disahkan jurucakap Istana, Mohd Annuar Zaini selepas BN dan Pakatan Harapan bersetuju membentuk kerajaan gabungan di negeri itu.

Kenyataan Istana Perak itu mengesahkan status ringkas dimuat naik Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang dalam Facebook beliau pada pagi Isnin tentang penggabungan dua pakatan itu.

"PH akan membentuk kerajaan negeri Perak bersama dengan BN!" tulis beliau.

Kenyataan itu sekali gus mengesahkan kenyataan media bersama PH dan BN yang tular sebelum ini.

"Barisan Nasional dan Pakatan Harapan secara bersama telah memenangi 33 kerusi majoriti di Dewan undangan negeri Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang telah diadakan pada 19 November 2022.

"Demi kepentingan rakyat dan negara, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan Perak telah bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri Perak dan maklumat terperinci akan diumumkan dalam masa yang terdekat," menurut kenyataan tersebut.

Difahamkan, beberapa pemimpin termasuk Saarani yang merupakan bekas Menteri Besar turut dititahkan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta.

81669005025_ChangLihKang

Hantaran Facebook Lih Kang itu mengesahkan kenyataan media bersama PH dan BN yang tular sebelum ini. — Facebook

Terdahulu, Saarani yang juga merupakan Pengerusi BN Perak berkata, beliau dan Bendahari DAP Perak Howard Lee Chuan How telah menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan menyembah maklum persetujuan kedua-dua gabungan mengenai perkara itu.

"Itu yang kami persembahkan dan terpulang kepada Tuanku sama ada baginda yakin dan setuju perkenan dengan cadangan penubuhan kerajaan,” katanya.

Ini susulan tiada gabungan yang memperoleh majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan Naib Pengerusi PKR negeri Muhamad Arafat Varisai Mahamad ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

Terdahulu dalam kenyataan bersama, PH dan BN Perak bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri.

"BN dan PH secara bersama telah memenangi 33 kerusi majoriti di Dewan Undangan Negeri Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang telah diadakan pada 19 Nov 2022.

"Demi kepentingan rakyat dan negara, BN dan PH Perak telah bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri Perak dan maklumat terperinci akan diumumkan dalam masa yang terdekat,” menurut kenyataan itu.

Pengerusi Amanah Perak Datuk Asmuni Awi dalam kenyataan video berkata langkah itu akan membentuk kerajaan negeri yang stabil sebagai memenuhi hasrat kebanyakan rakyat yang ingin melihat kerajaan baharu yang berjaya mentadbir negeri.

Keputusan PRU15 menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh 26 kerusi DUN manakala PH pula menawan 24 kerusi dan sembilan kerusi dimenangi BN.

Kerajaan Negeri Perak sebelum ini dibentuk dengan gabungan tiga parti iaitu BN, Bersatu dan PAS. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram