Drama terbaharu, Pengerusi BN tak setuju bentuk kerajaan bersama PN-GRS?


  • Politik
  • Ahad, 20 Nov 2022

Ahmad Zahid memaklumkan, tiada rundingan dibuat untuk membentuk kerajaan bersama GPS dan PN.

BARISAN Nasional (BN) menegaskan tiada sebarang rundingan dibuat dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan penubuhan kerajaan bersama dengan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada sebarang rundingan juga dibuat dengan PN setakat ini yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman untuk membentu kerajaan dengan gabungan berkenaan.

"Dalam pada itu, kesemua Ahli Parlimen BN yang memenangi PRU15 telah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepada saya selaku presiden untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.

"Mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen.

"Perkara itu selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan yang mula bertebaran di laman sosial pada Ahad malam.

Difahamkan, kenyataan itu dikeluarkan oleh Komunikasi Korporat Barisan Nasional, namun semakan Majoriti mendapati kenyataan itu tidak dikongsikan di laman Facebook rasmi Ahmad Zahid.

Sejak Ahad, Ahmad Zahid tidak memberikan sebarang respons terhadap desakan pelbagai pihak terutamanya Umno termasuk parti komponen, MCA dan MIC yang mendesak beliau supaya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden Umno.

Terdahulu, GPS menyatakan persetujuan untuk bergabung dengan BN, PN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Ahad.

Abang Johari turut memberitahu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi pilihan mereka sebagai calon Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan khabar angin bertemu Ahmad Zahid pada Ahad malam bagi membuat rundingan gabungan membentuk kerajaan.

Pada masa sama, Anwar juga enggan dedah parti yang akan sokong PH bentuk kerajaan, sebaliknya jelas beliau, parti-parti berkenaan akan umum sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram