'No Anwar, No DAP', Hishammuddin tolak kerjasama BN-PH, rela dipecat Umno


  • Politik
  • Isnin, 21 Nov 2022

Hishammuddin menyatakan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan PH. — Bernama

BENDAHARI Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kekal dengan pendiriannya menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Bekas menteri Kabinet itu berkata, beliau rela dipecat oleh parti dan tidak akan sesekali mengubah pendirian teguh itu.

"Seperti saya tegaskan sebelum ini lagi tetap menolak kerjasama dengan PH. Saya rela dipecat oleh parti namun tidak akan sesekali mengubah pendirian teguh ini.

"No Anwar, No DAP - pihak yang merasakan boleh mengambil tindakan memecat saya kerana berpegang kepada pendirian ini, silakan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Hishammuddin yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong menerusi catatan di laman sosial Facebooknya pada Ahad menyatakan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan PH.

Pada Isnin, Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata kenyataan mana-mana gabungan yang memasukkan BN bersama mereka bagi menubuhkan kerajaan adalah tidak benar.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu menyaksikan tiada parti dapat membentuk Kerajaan Persekutuan dengan PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam) dan Parti Warisan (tiga).

Selain itu, masing-masing satu kerusi untuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain dua calon Bebas yang menang.

Majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan ialah 112 kerusi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram