Setuju gabung BN-PN-GRS bentuk kerajaan, GPS pilih Muhyiddin jadi PM


  • Politik
  • Ahad, 20 Nov 2022

Abang Johari (kiri) menjelaskan, GPS memilih Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri.

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) menyatakan persetujuan untuk bergabung dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Perkara itu dimakumkan oleh Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari turut memberitahu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi pilihan mereka sebagai calon Perdana Menteri.

"Fokus dan tanggungjawab utama kita sekarang haruslah kepada kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching, Sarawak pada Ahad.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, GPS membuat keputusan itu memandangkan dunia dijangka berhadapan dengan cabaran krisis ekonomi lebih genting pada 2023.

"Demi untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara kita terpelihara maka sebuah kerajaan yang stabil dan kuat haruslah dibentuk dengan kadar yang segera," katanya.

Beliau berkata, asas GPS untuk membentuk kerajaan gabungan itu adalah untuk menegakkan keluhuran perlembagaan Persekutuan dan Sarawak, Perjanjian Malaysia 1963 serta Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan.

Katanya, persetujuan GPS juga mengambil kira autonomi Sarawak dalam pembangunan pendidikan dan kesihatan serta kepentingan lain negeri itu.

Ditanya sama ada persetujuan itu turut melibatkan pelantikan seorang Ahli Parlimen GPS sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau berkata: "Itu perkara kemudian. Perkara rakyat lebih penting. Bukannya kita sibuk hendak jadi Timbalan Perdana Menteri."

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN yakin beliau mempunyai sokongan yang mencukupi daripada Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin berkata, dalam pertemuan dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor pada Ahad, mereka telah menyatakan sokongan dan kepercayaan Ahli Dewan Rakyat daripada kedua-dua gabungan itu terhadap beliau.

"Beberapa orang Ahli Dewan Rakyat lain juga telah memberikan komitmen yang sama,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Muhyiddin berkata, perkara tersebut telah dilaporkan kepada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikannya petang Ahad.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Ahad menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti dan menamakan calon perdana menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang Isnin.

Sehubungan itu, Istana Negara telah memohon kerjasama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk meminta semua ketua parti dan gabungan parti politik terlibat mengemukakan cadangan gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui dan calon Perdana Menteri mereka kepada Istana Negara.

PRU15 pada Sabtu menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, PN (73), Barisan Nasional (30), GPS (22), GRS (enam), Parti Warisan (tiga) dan masing-masing satu kerusi untuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain dua calon Bebas yang menang.

Majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan adalah 112 kerusi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram