Demonstrasi jalanan jika Zahid enggan letak jawatan, Baju Merah beri kata dua


  • Politik
  • Ahad, 20 Nov 2022

Zahid masih tidak memberikan sebarang kenyataan selepas menerima tekanan pelbagai pihak termasuk parti komponen untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN.

GERAKAN Baju Merah pada Ahad memberikan kata dua kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno dalam kadar segera.

Ketua Penerangannya, Ariffin Abu Bakar berkata, Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab atas kegagalan Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.

“Hari ini keputusan amat mengejutkan amat sedih sekali apabila kita hanya tinggal 30 kerusi Parlimen,” katanya di lobi ibu pejabat Umno, Menara Dato Onn di ibu negara pada Ahad.

Tambah Ariffin, desakan agar Ahmad Zahid berunsur susulan tindakannya seolah-olah mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Nah ambil sekarang apa telah berlaku enggan sikap egonya yang tidak mahu dengan parti-parti lain kononnya 'No DAP, No Anwar'.

“Ini mungkin untuk melepaskan kluster mahkamah Presiden sendiri bebas daripada kes-kes beliau. Jalan terbaik agar Ahmad Zahid mencontohi presiden sebelum ini lepaskan jawatan, undur secara terhormat.

“PRU15 jelas menampakkan anak-anak muda dan pengundi 18 tahun menolak terang-terang dan tidak mahu lagi kluster mahkamah dan rasuah,” katanya.

Menurutnya, walaupun akar umbi mahukan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi namun bukan demi kepentingan individu.

“Kita menolak kestabilan politik untuk individu, untuk melepaskan tengkuk sendiri hingga menjahanamkan parti keramat Umno,” katanya.

Gerakan Baju Merah juga melahirkan rasa kesal dengan tindakan Ahmad Zahid didakwa cuba ‘membunuh’ panglima-panglima utama Umno termasuk Tan Sri Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Malangnya apa yang berlaku seolah-olah macam membunuh semua panglima Umno. Yang paling kami kesal pemimpin masa depan iaitu Khairy Jamaluddin telah diletakkan di sarang dan lubuk PH.

“Kami minta Khairy jangan undur diri, kami di bawah akan bersama dan pastikan selepas ini Zahid Hamidi letak jawatan... undur,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan menggerakkan desakan ke demonstrasi jalanan agar Ahmad Zahid berundur, sama seperti mereka menentang gerakan Bersih 2.0 sebelum ini.

“Kami tetap menghormati pemimpin bersih macam Timbalan Presiden dan Ketua-Ketua Umno Bahagian yang bersih.

“Kami harap Timbalan Presiden juga jangan terlalu lemah, tolong jelaskan dirinya zahirkan kemampuan dan keberaniannya untuk mentadbir Umno,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram