Penunggang motosikal maut tercampak masuk ke kerusi belakang kereta


  • 112
  • Jumaat, 18 Nov 2022

Pihak bomba tiba di lokasi bagi membantu operasi menyelamat. — JBPM Johor

SEORANG remaja lelaki berusia 20 tahun maut, manakala seorang lagi cedera apabila motosikal ditunggang mereka terlibat dalam nahas dengan sebuah kereta di Kilometer (KM) 20.7, Lebuhraya Utara-Selatan, arah Selatan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan, Tok Beng Yeow berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8.30 malam Khamis, ketika kedua-duanya menuju ke arah Johor Bahru, Johor.

"Kejadian bermula apabila seorang lelaki berusia 32 tahun meletakkan keretanya di lorong kecemasan selepas enjinnya rosak.

"Kedua-dua mangsa yang menuju dari arah sama tidak sempat mengelak kenderaan dan merempuh bahagian belakang kereta.

"Rempuhan itu menyebabkan penunggang motosikal tercampak masuk ke kerusi belakang kereta, manakala pembonceng tercampak ke hadapan kereta," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

315109334_501264255360411_3327827470108846937_n

Keadaan motosikal mangsa selepas merempuh bahagian belakang kereta. — JBPM Johor

Beng Yeow berkata, penunggang terbabit mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu, pembonceng motosikal cedera di badan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Jalan dan Pengangkutan 1987.

Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Kulai, Abd Malik Abd Rahman berkata, seramai sembilan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi.

"Mayat penunggang motosikal itu tersepit di tempat duduk penumpang dan terpaksa dikeluarkan menggunakan peralatan khas.

"Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital," katanya sambil menambah sebuah trak bomba dikerahkan ke lokasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram