Keputusan mahkamah penanda aras penting tegak keadilan buat mangsa MH17 — PM


  • Primer
  • Jumaat, 18 Nov 2022

Barisan panel perundangan sedang memeriksa serpihan pesawat MH17. — Agensi

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa syukur dan berpuas hati dan keputusan mahkamah di Belanda terhadap kes pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembah jatuh di Ukraine pada 2014 mendapati tiga tertuduh bersalah melakukan jenayah itu.

Katanya, keputusan Mahkamah Daerah The Hague menjadi satu tanda aras penting dalam usaha mencari kebenaran dalam menegakkan keadilan kepada kesemua 298 mangsa termasuk 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi itu termasuk waris mereka.

"Malaysia sentiasa berpendirian bahawa perbicaraan yang dijalankan mestilah berlandaskan kepada kebenaran, keadilan serta penuh tanggungjawab. Dalam hubungan ini, Malaysia menyokong keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah The Hague.

"Malaysia juga berpuas hati terhadap proses penghakiman yang boleh dipercayai dan telus yang dilaksanakan dalam sistem perundangan Belanda, berdasarkan kedaulatan undang-undang demi mendapatkan keadilan yang telah lama dinantikan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mewakili pihak yang terkesan dengan kejadian tersebut, merakamkan penghargaan kepada ahli Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) yang terdiri daripada Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine yang telah bertungkus lumus menjalankan siasatan terhadap tragedi MH17 tu.

Ismail Sabri turut menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan waris kru serta penumpang pesawat MH17.

"Keputusan mahkamah ini diharap dapat sedikit sebanyak memberi kelegaan dan ketenangan kepada keluarga waris yang terbunuh dalam kejadian itu, walaupun tiada yang dapat mengembalikan nyawa mereka yang terkorban,” jelasnya.

Pada 17 Julai 2014, pesawat penumpang Boeing 777 itu ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur.

Menurut laporan media, mahkamah Belanda memutuskan pesawat MH17 berkenaan ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia, yang dilancarkan dari sebuah padang ladang berhampiran Pervomaisk di timur Ukraine.

Mahkamah itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Rusia iaitu Igor Girkin dan Sergei Dubinsky, kedua-duanya bekas pegawai perisikan Rusia, dan seorang warga Ukraine yang juga pemimpin pemisah Leonid Kharchenko selepas didapati bersalah atas pertuduhan menembak jatuh MH17, manakala seorang lagi warga Rusia, Oleg Pulatov didapati tidak bersalah.

Hakim Hendrik Steenhuis yang mengetuai penghakiman dalam perbicaraan itu juga memerintahkan tiga tertuduh itu membayar pampasan lebih 16 juta Euro (RM75.26 juta) kepada keluarga mangsa.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram